Kebenaran Rentas Negeri Di Sabah Bermula 1 November Ini

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor memaklumkan, kebenaran merentas negeri dan kemasukan ke Sabah meliputi lawatan sosial dan pelancongan adalah dibenarkan bermula 1 November 2021.

Namun, beberapa syarat harus dipatuhi sebelum melakukan lawatan ke negeri tersebut termasuklah kepada golongan remaja dan kanak-kanak.

“Individu haruslah telah lengkap divaksin dan perlu menjalani ujian COVID-19 RT-PCR atau RTK-Ag dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri hari ini juga membenarkan aktiviti rentas daerah bagi seluruh Sabah tanpa mengikut zon yang akan berkuat kuasa mulai esok.

“Selaras dengan itu, kerajaan negeri pada hari ini bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan di seluruh negeri mulai 14 Oktober (esok) dengan beberapa syarat.

“Antara syarat ialah individu terbabit telah lengkap divaksin. Bagi remaja berumur 12 sehingga 18 tahun pula mestilah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun harus ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin,” jelasnya.

 

Sumber: BH

Salma Syahbuddin