“Kita Ada Etika Kerja & Itu Ada Dalam Kontrak”- TMJ Akui Denda Pemain Sehingga RM40,000

Bagi memastikan skuad Harimau Selatan terus mencipta kejayaan demi kejayaan dalam sukan bola sepak, tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan pemain adalah faktor utama yang dititikberatkan oleh pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Justeru itu, TMJ mendedahkan bahawa pasukannya memiliki polisi dan undang-undang tersendiri bagi memastikan disiplin dan etika kerja pemain mereka sentiasa terjaga.

Ini termasuklah, pemain mahupun jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)  akan didenda sekiranya didapati melakukan ‘kesalahan’ yang melanggar polisi kelab.

Denda RM15,000 sehingga RM40,000

TMJ menjelaskan pemain dan jurulatih pasukan JDT akan dikenakan denda sekiranya didapati melakukan ‘kesalahan’ termasuklah lewat menghadiri sesi latihan mahupun menyalahgunakan media sosial yang boleh memburukkan nama dan prestasi kelab.

“Kalau pemain salah guna media sosial, denda RM40,000 dan itu ada dalam kontrak pemain. Sebab kita ada etika kerja. Kalau lewat ke sesi latihan, denda RM15,000, tiada main-main dalam JDT. Akhyar Rashid pernah lewat sekali pun kena denda juga.

“Isteri salahguna dan tidak kawal media sosial yang boleh mencemarkan nama kelab, pemain akan kena denda. Kalau jurulatih lewat pun, pengurus akan denda kerana jurulatih kena ada dua jam sebelum latihan.

“Kalau gaji tak cukup, (pemain) berhutang,”katanya ketika sesi soal jawab menerusi sebuah rancangan televisyen berbayar pada Isnin.

Untuk rekod, pembayaran denda kepada pemain bukanlah perkara yang asing memandangkan kelab terkemuka dunia juga turut mengambil pendekatan yang sama.

Salma Syahbuddin