Varian Delta Serang Seluruh Sarawak

Kebimbangan terhadap penularan varian delta dalam negara kini menjadi realiti apabila varian tersebut menjadi varian dominan yang menjangkiti pesakit Covid-19 di Sarawak.

Keputusan itu disahkan hasil penjujukan genom pada varian SARS-COV 2 oleh Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Menurut Pengarah IHCM, Prof Dr David Perera, sejak 31 Ogos lalu, sejumlah 303 varian yang membimbangkan (VOC) tambahan dikesan daripada 307 kes positif.

Semua VOC itu adalah varian Delta (B.1.617.2) dengan keseluruhan yang dikesan pada kadar 99 peratus dan ia mewakili peningkatan dari 82 peratus yang dilaporkan oleh IHCM pada 2 Ogos lalu.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah memaklumkan, data tersebut menunjukkan varian Delta adalah varian dominan yang kini sudah tersebar luas di Sarawak ketika ini.

Untuk rekod, varian Delta dikesan 100 peratus di bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Miri dan Limbang serta kes Import A.

Manakala, bahagian Sibu dan Kapit pula mencatatkan 97 peratus dan bahagian Bintulu sebanyak 98 peratus.

Terbaharu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan menerusi hantaran di Facebook miliknya,  daripada 38 kes VOC, 36 kes merupakan varian Delta manakala dua lagi varian Beta.

 

Sumber: Harian Metro, Facebook
Salma Syahbuddin