Muncul Dengan Karya Baharu, Killa Driz Tampil Dengan Rap$tar

Killa Driz terkenal dalam dunia hiphop indie dan bakal menyinar di arena popular, bintang terbaharu di bawah naugan Def Jam Malaysia dengan karya berjudul Rap$tar.

Killa Driz mempunyai bakat dalam bidang penulisan lagu dan rap. Beliau juga telah mendapat pengiktirafan yang signifikan sebagai seorang rapper bawah tanah dalam arena hip hop indie, yang membezakan beliau daripada yang lain dan menjadikan beliau luar biasa atau istimewa.

Penyanyi rap muda yang berusia 23 tahun ini menyatakan bahawa beliau sangat gembira dapat memperkenalkan lagu sulungnya di bawah terbitan Def Jam Malaysia.

“Lagu yang berjudul Rap$tar ini menampilkan sisi tekun saya dalam bidang yang saya ceburi. Ia mencerminkan keinginan saya untuk bekerja keras dan menjadi lebih baik sambil mencuba meneroka perkara-perkara baharu.

“Ia juga memberi peluang kepada saya untuk meluahkan perasaan peribadi tentang ketidak pedulian terhadap pendapat orang lain dan apa yang mereka fikirkan tentang kita. Yang penting kita terus berusaha untuk berjaya,” katanya.

Lagu ini juga dihasilkan bersama Luca Sickta yang mengambil masa tiga bulan untuk selesai rakan dan ia juga mendapat sentuahn daripada bintang hiphop terkenal iaitu SonaOne.

“Sona juga sempat membuat beberapa perubahan pada lagu ini selepas mendengar demonya dan saya sangat berpuas hati dengan hasil kerjasama ini. Saya rasa inilah versi diri saya yang selama ini ingin ditampilkan pada dunia,” tambahnya lagi.

Karya Rap$tar juga didatangkan dengan sebuah muzik video yang luar biasa bersama gandingan beberapa rapper terkenal seperti ALYPH dan Yonnyboi.

“Proses rakaman video muzik sangat mudah. Saya berpeluang bekerja dengan Unfold yang mengarah dan merakam klip video Sengkek dendangan Yonnyboi dan ALYPH. Saya memberi mereka kepercayaan sepenuhnya untuk penghasilan video muzik tersebut. Semuanya berjalan lancar dan suntingannya juga sangat luar biasa. Saya memang teruja untuk orang lain menyaksikannya.

“Konsepnya juga agak unik kerana ia banyak menampilkan karya seni Lukis. Ada juga karya seniman agung Van Gogh yang sempat diselitkan bersama. Konsep ini dipilih kerana saya sendiri suka melukis sepanjang saya membesar. Ia merupakan satu lagi cara untuk meluahkan emosi selain melalui lagu,” ujarnya.

Killa Driz beraharap agar karyanya ini dapat diterima oleh ramai yang mendengar dan mampu membakar semangat orang lain untuk terus mengejar impian mereka.

Single Rap$tar boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 16 Jun 2023, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Def Jam Malaysia.

Nurul Hana