Pelancong yang Ingin Bercuti Ke Langkawi, WAJIB Buat Swab Test!

Sebelum ini, kerajaan telah memilih Langkawi sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan terutamanya kepada individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, menerusi kenyataan terkini yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula 16 September 2021 diwajibkan agar menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum  memulakan perjalanan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak menyebabkan peningkatan kes atau kluster baharu.

Khairy berkata, ujian pengesanan ini juga akan dilakukan ke atas individu dewasa berumur 18 tahun ke atas serta remaja dan kanak-kanak berumur  7-17 tahun.

Bagi kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan dengan mengambil kira keupayaan mereka mengeluarkan saliva dan mestilah bersama ibu bapa ATAU penjaga yang telah lengkap suntikan vaksin.

Selain itu, ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan di lapangan terbang dan terminal feri yang terlibat akan dipantau oleh anggota kesihatan yang bertugas.

“Bagi mereka yang positif wabak berkenaan, mereka tidak akan dibenarkan untuk  meneruska perjalanan dan akan diuruskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.” Katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar seluruh rakyat Malaysia memaanfatkan kelonggaran yang diberikan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Salma Syahbuddin