Pengeluaran RM10,000 secara One-Off Boleh Dilakukan Jika… – Pakar

Masyarakat nampaknya masih rancak dengan perdebatan dan berharap agar kelulusan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off dilakukan segera.

Namun, menurut Perunding Kewangan, Ieza Yusuf, kurangnya kesedaran dari segi pengurusan wang dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini merupakan faktor utama mengapa pihak terlibat gagal bangkit dari kemiskinan.

Bagaimanapun, Ieza bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa ramai ahli KWSP akan bersara pada garis kemiskinan jika pengeluaran tambahan dilaksanakan.

Namun, itu tidak bermakna pengeluaran KWSP secara one-off tidak boleh dilakukan.

“Pendapat saya sebagai perancang kewangan, dalam keadaan semasa berlakunya wabak pandemik COVID-19 dan bencana banjir, rakyat berada dalam fasa gangguan emosi. Sebab itu, solusi yang ada hanya (pengeluaran) KWSP.

“Saya bersetuju untuk orang yang ada jumlah wang RM10,000 itu, untuk mengeluarkan wang tersebut disebabkan bagi memperbaiki emosi itu dahulu. Tetapi dengan syarat, kita mesti tahu ilmu cara mengurus,” jelasnya.

Tegasnya lagi, adalah lebih baik sekiranya bakal pengeluar wang simpanan tersebut diberi pendedahan dengan pengurusan kewangan yang betul sebelum mereka menerima wang mereka agar wang tersebut dapat diurus dengan baik dan teratur.

Terbaharu, Tengku Zafrul menerusi hantaran dilaman Facebook miliknya, tampil menjelaskan mengenai isu Pengeluaran Khas i-Citra dan implikasinya terhadap keluarga Malaysia, perniagaan dan ekonomi negara.

 

 

Sumber : Awani, Facebook

Salma Syahbuddin