“Proses Pemulihan Sangat Sukar” – Mata Kiri Ben Amir Hampir Buta

Pelakon Ben Amir mendedahkan kecederaan akibat kemalangan hampir membuatkan mata sebelah kirinya buta.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Ben Amir atau nama sebenar Muhammad Ben Amir Sabaruddin, 32, memaparkan video serta gambar proses pemulihan mata kirinya yang cedera teruk.

“Kemalangan yang mengubah pandangan saya tentang kehidupan. Proses pemulihan sangat sukar daripada segi mental dan fizikal. Saya sangat tertekan dan lemah,” tulisnya.

Namun, selepas menjalani pembedahan pada pertengahan Jun lalu, kini dia sudah semakin sembuh dan sihat.

“Hari ini keadaan saya bertambah baik dan berasa kuat kembali. Terima kasih Allah kerana membantu saya.

“Terima kasih kepada semua orang yang sentiasa berada di sisi ketika saya berada di tahap paling bawah. Sekarang adalah masa untuk saya maju ke hadapan dan berkembang,” katanya lagi.

Menjengah diruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis turut mendoakan agar penglihatannya pulih seperti sedia kala.

Terdahulu, Ben pernah berkongsi gambarnya selepas menjalani pembedahan di hospital dan bahagian mata kirinya ditutup alat pelindung buat sementara waktu namun dia tidak berkongsi punca matanya itu cedera.

Maya Basir