PRU15: Ketua Polis Negara Mohon Rakyat Tidak Cetuskan Sebarang Provokasi

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani tampil memberi peringatan dan memohon agar rakyat tidak mencetuskan sebarang provokasi atau situasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di media sosial.

Menurut Acryl Sani,  pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan tindakan pengguna media sosial memuat naik kandungan yang menyentuh isu perkauman atau keagamaan dan menghina institusi diraja susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta pembentukan kerajaan.

“PDRM memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut untuk menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran awam.

“Tindakan tegas di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan situasi mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Umum tahu, keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti Perikatan Nasional (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi, Sabtu lalu

Namun, setakat ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Sumber: BERNAMA & Harian Metro

Fatin Nurain