Categories: Trending

Vaksin Covid-19 Akhirnya Ditemui

Presiden Russia, Vladimir Putin dalam satu kenyataannya berkata, vaksin bagi wabak Covid-19 telahpun diluluskan dan akan dibangunkan oleh Institut penyelidikan Gamaleya dengan kerjasama kementerian pertahanan negara berkenaan.

Vaksin Sputnik V

Justeru itu, Russia sekaligus mendakwa menjadi penghulu dalam perlumbaan bagi penghasilan vaksin Covid-19 apabila mengumumkan vaksin Sputnik V pada Isnin.

Nama itu dipilih bagi merujuk kepada satelit pertama buatan manusia yang dilancarkan oleh Kesatuan Soviet ke angkasa lepas pada 4 Oktober 1957.

Pengeluaran Vaksin Sputnik V bermula September

Menurut Ketua Dana Pelaburan Langsung Russia, Kirill Dmitriev, vaksin berkenaan telahpun memasuki fasa ketiga dalam penghasilannya bermula Rabu ini.

Dan, pengeluaran Sputnik V dijangka akan bermula pada September ini dan 20 negara sudah membuat tempahan membabitkan satu billion dos.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pihaknya hanya meluluskan vaksin Covid-19 yang melepasi proses kelayakan yang ketat dan menyeluruh.

” Untuk mendapatkan kelulusan WHO, kami perlu meneliti aspek keselamatan dan menilai data daripada ujian klinikal. Ini membabitkan mana-mana vaksin,”

Sebelum ini, WHO telah mengumumkan terdapat 168 vaksin Covid-19 telah dibangunkan di seluruh dunia. Dan, 28 daripadanya sudah memasuki peringkat ujian terhadap manusia. Manakala, 6 daripada 28 vaksin itu juga sudah memasuki fasa ketiga ujian klinikal.

Bagaimanapun, badan dunia itu memaklumkan Sputnik V baru memasuki fasa satu.

Sumber : Berita Harian, Harian Metro

Salma Syahbuddin