Uncategorized By: Yanie Baharom February 14, 2019 @ 9:00am

Figura Februari: Romantika Aeril, Wawa

Februari, hadir menebarkan rasa cinta bersama simbolik sambutan Hari Memperingati Kekasih yang juga ghairah disambut masyarakat negara ini setiap kali menjelang tanggal 14.

Bersempena bulan romantis ini, Hijab&Heels menampilkan dua figura popular, sama cantik sama padan iaitu pasangan suami-isteri sensasi, Suhairil Sunari, 31 atau lebih dikenali sebagai Aeril Zafrel dan Nur Hawa Zainal Abidin (Wawa Zainal), 27. 

Tujuh tahun melayari alam rumah tangga, bermula dengan babak perkahwinan penuh kontroversi, suka dan duka sebagai rencahnya, pasangan ini berkongsi rahsia bagaimana kekal bahagia meski berkahwin pada usia muda. 

Kehadiran dua cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4, sebagai pelengkap kasih, Aeril dan Wawa percaya saling setia dan amalan kebersamaaan, kunci kesejahteraan hubungan mereka. 

Ikuti temubual penuh bersama Norhadiani Baharom dan saksikan momen-momen romantis yang dirakamkan oleh jurugambar Nizarhafiz Mustafa (IG: @nizarhafizmustafa).

Hijab&Heels (H&H): Februari sinonim sebagai bulan cinta atau Hari Memperingati Kekasih, adakah kalian menyambutnya? 

Aeril Zafrel (Aeril) : Sejujurnya tidak! kerana seperti yang kita tahu ia bukan budaya orang Melayu. Tetapi ulang tahun perkahwinan kami, ulang tahun kelahiran isteri dan anak-anak, itu menjadi kemestian.

Wawa Zainal (Wawa): Saya percaya membajai cinta antara suami dan isteri itu harus dilakukan setiap hari, bukan pada tarikh tertentu atau Hari Kekasih saja. Bila kita teringat untuk melakukan kejutan buat pasangan, lakukan saja tanpa ragu!

 

H&H:  Kalian antara selebriti tempatan yang berkahwin pada usia sangat muda. Aeril 24 tahun dan Wawa pula, 20 tahun. Kalau boleh diimbas kembali, kenapa kalian memilih untuk berkahwin pada usia yang muda? 

Aeril: Saya kehilangan kedua-dua org tua saya. Allahyarham ayah pada 2010, manakala Allahyarham emak pula tahun berikutnya (2011). Adik-beradik semuanya sudah ada kehidupan sendiri.

Ketika tu, hidup saya terasa sunyi sangat. Saya fikir, saya kena berkahwin untuk mengisi kesunyian saya.

Kemudian saya mengenali Wawa dan dialah yang membawa keceriaan dalam hidup saya selain satu-satu wanita yang memahami saya. Jadi kami putuskan untuk berkahwin. 

Wawa: Pertamanya tentulah jodoh ini ketentuan Allah SWT, malah saya tidak melihat ia sebagai satu masalah. Tidak dinafikan awal perkahwinan dulu banyak kekurangan saya sebagai isteri kerana belum matang.  

Tetapi melihat anak-anak sudah besar dan saya masih lagi muda, rasa bangga, malah saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat untuk berkahwin muda. 

H&H: Bagaimana kalian menjayakan rumah tangga yang berusia tujuh tahun ini sentiasa bahagia kekal harmoni? 

Aeril Zafrel (AZ): Peringkat awal perkahwinan, kami serah kepada Allah SWT soal rezeki. Maklumlah bekerja sambilan seperti kami tiada pendapatan tetap. Tapi saya selalu percaya Allah SWT tidak biarkan kami mati kelaparan.

Keputusan yang diambil kami untuk berkahwin pada usia muda, tiada niat lain untuk elak perkara yang tidak diingini berlaku selain mahu hidup pada landasan yang diredai. 

Kalau ikutkan masa itu Wawa tengah zaman kemuncak dan baru menang Artis Baru Wanita Popular! 

Sementara lakonan saya menerusi drama Cinta Jannah sedang hangat diperkatakan.

Rasanya orang pun tahun kisah-kisah kami sebelum ini kenapa kami terpaksa merahsiakan status perkahwinan sebelum ini. 

H&H: Perubahan dan tahap kematangan dalam perhubungan kalian sebagai suami isteri berbanding dulu?

Aeril: Tidak dinafikan, banyak cabaran memandangkan kami berdua baru nak survive

Rumah pun tidak ada lagi masa itu dan masih menyewa. Tapi dalam apa juga keadaan, kami selalu membantu antara satu sama lain. 

Kami tidak pernah tetapkan ‘yang ini tanggungjawab saya’ sementara itu pula kerja Wawa. Kami ambil tanggungjawab hampir dalam semua benda bersama, malah antara kami tiada orang ketiga. Kepercayaan yang pasangan berikan itu harus dijaga sebaiknya. 

Wawa: Peringkat permulaan tipulah kalau semuanya berjalan lancar. Darah muda, kita tidak matang lagi. 

Jika diingat balik perangai saya dulu, agak kebudak-budakan. Suka marah-marah tanpa sebab dan benda kecil pun, mesti nak diperbesarkan.

Kadang-kadang terasa macam kurang ajar pun iya. Haha! 

Nasib baik Aeril mampu bertahan, malah sangat penyabar! Walaupun Aeril muda juga masa tu, tapi dia matang. 

Sekarang ini saya dah okay boleh dikatakan sudah matang. Rasanya betul- betul berubah dua tahun lalu.

Sekarang ini nak bergaduh memang jarang dan kalau ada perselisihan faham pun, saya tak membiarkan hal itu lama-lama. 

H&H: Motivasi untuk sentiasa memperkukuhkan rumah tangga?

Aeril: Motiviasi saya adalah anak-anak kami. Kamu perlu fikir di mana mereka akan bersekolah nanti selain sediakan aset untuk mereka.

Sebelum ini saya dan Wawa pernah susah. Kami tidak mahu anak-anak melalui apa yang pernah kami lalui. 

Namun begitu saya tidak ajar anak-anak dengan memberi kesenangan kepada mereka sehingga boleh membuatkan mereka lupa diri. 
Terapkan pengetahuan dengan didikan agama supaya apabila besar nanti, mereka  tahu membezakan buruk dan baik. 

Selain itu, apapun perkara negatif yang pernah melanda kami ianya tidak memberikan sebarang kesan. Buktikan yang kita boleh berjaya. 

Wawa: Utamakan suami dan anak-anak dalam segala hal tidak kira sesibuk mana pun kita. Seperti saya sendiri ligat menjalankan pelbagai perniagaan, tetapi jangan sesekali ambil kesempatan dengan kesibukan kita itu.

Apabila memegang status sebagai isteri dan ibu terutamanya, motivasi diri untuk menjadi seorang insan yang lebih baik itu penting supaya anak-anak boleh menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh. 

H&H: Antara kalian berdua, siapa lebih garang?

Wawa: Saya tidak garang, tetapi tegas dalam beberapa perkara jika perlu. Seperti Aeril dia sentiasa okay tak pernah marah anak-anak dari dulu sampai sekarang. 

Walaupun saya lebih tegas berbanding Aeril, saya juga selalu memanjakan anak-anak. Kalau mereka mahukan sesuatu, saya pasti belikan kerana tidak sampai hati. 

Meskipun permainan yang mereka mahukan itu berharga RM50 dan hanya untuk dimain sekali saja. 

H&H: Barangkali boleh kongsikan tip kepada mereka yang ingin berkahwin muda? 

Aeril: Seperti saya katakan tadi, apabila kita mendirikan masjid Tuhan pasti permudahkan rezeki kita.

Tapi berdasarkan pengalaman saya, sebelum hendak bela anak orang perkukuhkan kerjaya terlebih dulu. Kalau boleh sudah ada aset seperti rumah supaya dapat menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk isteri dan anak-anak.

Buat persediaan terlebih dulu sebelum memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. 

Satu lagi, tidak perlu membazirkan wang untuk perkahwinan yang ‘grand’ kerana kehidupan selepas berkahwin itu memerlukan banyak belanja. 

Wawa: Kepada isteri-isteri, janganlah suka cari pasal dan perkara kecil dibesarkan. Tidak dinafikan orang perempuan kuat membebel tapi jangan sampai keterlaluan.

Rumah tangga yang tidak harmoni, rezeki pun susah nak masuk. 

Bila tidak bergaduh, jaga hubungan dengan suami dan Tuhan, rezeki masuk macam air. Insya-Allah semuanya dipermudahkan kerana itulah nikmat yang saya sendiri alami sejak dua tahun kebelakangan ini. 

Satu lagi tip, sentiasa jadikan suasana rumah tangga itu manis setiap hari macam mula-muka berkahwin dulu. Usik-mengusik antara suami dan isteri termasuk cari masa untuk keluar berdua saja dengan pasangan anda. 

H&H: Beralih kepada soalan terakhir, apa aktiviti seni anda terkini? 

Aeril: Buat masa sekarang saya sedang berehat seketika memandangkan baru pulang daripada mengerjakan umrah yang pertama. Ada juga perbincangan mengenai drama bersiri Jibril untuk musim kedua. 

Wawa: Saya memang sudah lama tidak berlakon, tetapi kalau ada watak bersesuaian dan secocok dengan waktu tentunya saya tidak akan menolak. 

Jadual saya sebenarnya terlalu padat, kerana setiap hari komitmen hantar dan ambil anak sekolah selain mengendalikan rangkaian perniagaan saya antaranya produk kanta lekap, kosmetik, perawatan kulit wajah serta jenama pakaian. 

Tidak sempat untuk terima tawaran, apabila penggambaran memakan masa yang panjang! 

Penaja lokasi:

TENERA HOTEL
Persiaran Kemajuan, Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Instagram: @tenerahotel

 

Busana:

Aeril Zafrel by Bon Zainal
BON FASHIION LEGACY SDN BHD
D-0-10 & D-1-10 ,Plaza Damas ,
Jalan Sri Hartamas 50480 Sri Hartamas,
Kuala Lumpur.
Instagram: @bonzainal3003

Wawa Zainal by Amir Kadir 
Instagram: @amirkadirofficial

Solekan:

Fiqa Hafizi
Instagram: @fiqahafizi
Sent from my iPhone

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Uncategorized Tue, 13 Mar 2018

8 Perkara Perlu Tahu Jika Anda Batuk…Bahaya Sehingga Boleh Retak Tulang Rusuk!

Ramai yang beranggapan batuk merupakan satu masalah kecil dan normal.

Uncategorized Wed, 14 Mar 2018

Mudah & Confirm Sedap! Guna 3 Bahan Je Untuk Buat Brownies Atau Biskut Nutella

Tak mungkin ada orang di dunia ini yang tak suka Nutella. Dah lah lembut bila disapu di atas roti; gabungan coklat dan hazelnut dalam ramuannya juga memang perfect. Makan begitu saja pun boleh! Ooh, sedap yang […]

Uncategorized Wed, 21 Aug 2019

Lemah nafsu syahwat, Insomnia atau asma? Jom pekena teh bunga telang!

Bukan 1 tapi 17 kebaikan bunga biru ini untuk kesihatan

Uncategorized Thu, 30 Apr 2020
Featured Tue, 18 Jun 2019
Trending Mon, 26 Feb 2018

Resepsi Fairy Tale #fattzura. And They Live Happily Ever After…

Setelah bergelar suami isteri selama tiga bulan, pasangan pelakon popular, Fattah Amin dan Fazura diraikan dalam satu majlis resepsi penuh romantis bertemakan ‘Fairy Tale’.

Acara Mon, 8 Jan 2018

10 Tips Untuk Merahkan Bibir Secara Semulajadi Agar Tampil Lebih Menawan

Bibir adalah sebahagian dari tubuh manusia dan juga mencerminkan imej dan personaliti seseorang itu. Ianya juga adalah sebahagian aset penting bagi wanita, kerana bibir juga mencerminkan kesihatan. Bibir yang kusam dan tidak bermaya tentunya akan […]

Uncategorized Fri, 13 Sep 2019
Featured Mon, 24 Jun 2019

Hukuman mati menanti mereka yang berswafoto di pantai ini, biar betul?

Berswafoto atau membahayakan nyawa ratusan orang?