Acara By: Ad Ops July 5, 2018 @ 10:18am

Remy Ishak Dan Puteri Aishah Lalui Cabaran Hebat Untuk Jayakan Filem Pulang

Setiap filem ada cabaran masing-masing, tapi hanya orang-orang di sebalik tabirnya saja yang tahu betapa harungnya pengalaman tersebut.

Untuk filem Pulang terbitan Primeworks Studios, pasukan kru tidak terlepas daripada sebarang cabaran, lebih-lebih lagi kerana genre dan setting produksi ini.

Kisah percintaan epik ini menceritakan tentang seorang nelayan, Othman, yang telah pergi belayar meninggalkan isteri dan anak tercinta demi mencari harta untuk dibawa pulang.

Remy Ishak yang melakonkan watak si nelayan ini tak senang duduk pada mulanya kerana dia memang tak biasa dengan keadaan laut.

Cuba bayangkan, kalau anda mabuk laut atau fobia terhadap air dalam, macam mana nak berlakon jadi nelayan, lebih-lebih lagi jika anda perlu menaiki sampan dan mengharungi ombak besar?

Remy tidak mempunyai masalah fobia atau seasick, dan dia bernasib baik kerana dia tak perlu belayar di laut. Sebaliknya dia harus “belayar” di sebuah set penggambaran yang dibina khas di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, ada juga cabaran yang menantinya: dia perlu bayangkan seolah-olah dia sedang berdepan dengan ombak-ombak yang bergelora ketika belayar dalam ribut.

“Memandangkan saya tak pernah ke laut, saya terpaksa improvise banyak,” kata Remy yang berasal dari Melaka.

“Kabir Bhatia (pengarah) menyuruh saya tonton pelbagai filem yang bertemakan anak kapal supaya saya boleh belajar cara-cara untuk melayari ombak.”

Untuk menambahkan lagi pengalamannya, Remy telah berlatih mengayuh sampan di Pantai Penarik di Setiu, Terengganu selama dua jam setiap hari dalam seminggu.

“Aktiviti ini telah banyak membantu saya menjiwai watak Othman. Saya cuma bayangkan yang saya dikelilingi laut.”

Tak seperti Remy, Puteri Aishah memang ada fobia air dalam. Nasib baik dia tak perlu berlatih belayar.

Pelakon ini memainkan watak Thom, isteri Othman yang setia menunggu kepulangan suaminya bertahun-tahun lamanya.

Ketika Puteri sedang merakam babak di mana dia perlu menaiki sebuah bot di Terengganu, dia terkejut ‘beruk’ sebab ada seekor buaya yang berenang berdekatan dengan botnya.

“Saya memang takut dengan binatang-binatang macam ini. Nasib baik kru penggambaran tak beritahu saya pada masa itu,” katanya.

Dia menambah yang dia ada dengar bunyi percik air. Pihak kru pula ingat ia hanyalah seekor biawak.

“Biawak pun saya takut! Nasib baik saya mengetahui perkara sebenar hanya selepas saya mendarat.”

Selain itu, Pulang, filem pertama lakonannya juga memberi cabaran unik kepada aktres ini dari segi lakonan.

“Filem ini menggambarkan watak Thom dari muda hingga ke tua. Saya sebagai pelakon yang memegang watak ini harus menunjukkan perubahan usianya, jadi saya perlu melalui sesi makeup selama 4 jam,” kata Puteri.

“Bukan itu saja, saya juga perlu mimik suara perempuan tua. Memang susah sebab suara saya asalnya macam suara budak sekolah.”

Melakonkan babak sedih juga mencabar, kerana sebelum itu, Puteri hanya memain watak ceria untuk televisyen.

“Kabir menyuruh saya tonton filem atau drama TV yang sedih-sedih untuk ambil mood. Membantulah juga,” kata Puteri.

Ha, anda tengok sendiri, bukan senang nak buat filem! Jangan perlekehkan kerja atau usaha yang para pelakon Malaysia telah berikan.

Pulang akan menemui anda di pawagam serata Malaysia bermula 26 Julai ini.

Selain Remy dan Puteri, ia juga membintangi Alvin Wong, Erwin Dawson, Azrel Ismail, Datuk Jalaluddin Hassan, Juliana Evans dan Sherry Al-Jeffri.

Sumber: NST

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Acara Wed, 23 May 2018

Jom Shopping Raya Di Festival Anggun Life Johor Bahru Pada 8 & 9 Jun Ini!

Festival Anggun Life akan temui anda di Johor Bahru pada 8 & 9 Jun ini.

Acara Sun, 20 May 2018

Bufet Ramadan INTEKMA Gamit Memori Dengan Variasi Selera Kampung Yang Menyelerakan

Sesi “Iftar@INTEKMA” menyajikan pelbagai selera masakan kampung yang lazat dengan kadar harga berpatutan kepada pelanggan.

Acara Thu, 7 Jun 2018

5 Sebab Kenapa Anda Perlu Kunjungi Anggun Life

Anda wajib kunjungi Festival Anggun Life di Johor Bahru!

Acara Mon, 30 Jul 2018
Acara Sun, 19 Jan 2020
Acara Mon, 11 Dec 2023