Categories: Drama

Di Sebalik Watak: Beto Kusyairy Sebagai Kamal Dalam ‘Bunga, Aku Tunggu’

Obsesi bukanlah perkara ringan. Drama slot Samarinda terbaharu yang berjudul ‘Bunga, Aku Tunggu’ menceritakan kisah yang berkisar tentang obsesi. Siri ini menyoroti watak Kamal yang dimainkan oleh pelakon berbakat, Beto Kusyairy.

Kamal yang berusia lewat 20-an dikenali di tempat kerja sebagai seorang cerdik pandai. Dia juga seorang yang tidak begitu bersosial bersama rakan sekerja. Walau bagaimanapun, dia amat baik hati dan sering memberi bantuan. Sifatnya ini membuatkan dirinya disenangi oleh bos dan rakan sekerjanya.

Personalitinya mula berubah apabila hadir seorang pekerja baharu yang bernama Bunga. Kamal telah jatuh hati terhadap Bunga, seorang gadis yang manis, naif dan baik hati. Namun, perasaan itu mula melarat sehingga dia menjadi obses dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyingkirkan ‘pesaing’ dirinya.

Watak Kamal bukanlah watak yang mudah untuk dibawa. Namun, perwatakannya itu jugalah yang menarik minat Beto untuk berlakon dalam siri ini. Menurut Beto, “Setiap projek – tak kira TV atau filem – yang saya lihat dahulu adalah skrip. Untuk ‘Bunga, Aku Tunggu’ ni, saya tertarik dengan watak dan perwatakan yang ditawarkan kepada saya.”

Tambahnya lagi, “Faktor lain adalah dengan siapa saya harus bekerjasama. Nama Along Kamaludin serta Nelydia Senrose memberi makna besar untuk saya setuju melibatkan diri.”

Beto mengakui watak Kamal ini membawa cabaran yang tersendiri. “Sudah sekian lama saya tidak memainkan watak gelap,” ujar anak seni berusia 43 tahun itu. “Cabaran paling utama adalah untuk merealisasikan Kamal sebagai seorang yang obsesif dan posesif serta pada masa yang sama memanusiakan perwatakannya.”

Beto juga berkongsi pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang penggambaran drama ini. Katanya ia adalah apabila dia telah masuk ke hutan pada tengah malam untuk menggali kubur. Seram!

Apabila ditanya jika Beto sendiri mempunyai pengalaman dengan mereka yang obses dengan dirinya sebagai seorang artis terkenal, beliau menjawab, “Belum pernah ada pengalaman begini. Setakat ini, mereka yang menyokong saya cukup menghormati saya selaku pemain watak.”
Menurut Beto, ‘Bunga, Aku Tunggu’ adalah drama yang wajib ditonton kerana “Ini adalah sebuah siri yang mengajar kita tengah sikap negatif dalam perhubungan yang perlu dijauhi dari awal.”

Beto juga sempat menyelitkan kata-kata nasihat kepada mereka yang berhadapan dengan situasi sebegini: “Harus berani berkata tidak dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya jika terjadi pada diri sendiri.”

Cerita Apa? ‘Bunga, Aku Tunggu’
Hari Apa? Setiap Isnin – Khamis
Jam Berapa? 10 malam
Di Mana? TV3

Afiqah Azizan