Categories: Drama

Di Sebalik Watak: ‘ILYS’

Novel ‘ILYS’ oleh Melur Jelita telah diadaptasi kepada sebuah siri drama slot Akasia. Kisah ini menceritakan penyatuan dua hati yang berbeza latar belakang.

Iris Nur (dilakonkan oleh Ezzanie Jasny) berasal daripada keluarga berada dan memiliki sifat yang nakal. Iris juga seorang yang bijak, cantik dan berkeyakinan tinggi. Namun, keyakinannya itu tercalar apabila mengenali Inspektor Ebrahim (dilakonkan oleh MK K-Clique) yang telah menyamannya kerana membawa kereta lebih daripada had laju yang ditetapkan. Walaupun Iris cuba memujuk agar dirinya tidak disaman, Inspektor Ebrahim tetap tidak memberi muka.

‘Abang Pedas’ merupakan gelaran yang diberi oleh Iris kepada Inspektor Ebrahim dek bahasanya yang ‘pedas berapi’. Dalam diam, Iris semakin tertarik walaupun diselubungi rasa benci. Takdir telah menemukan mereka beberapa kali lagi.

Iris sering menjadi tumpuan Inspektor Ebrahim. Namun, apabila dia menjadi jurulatih persatuan silat di universitinya, ketampanan dan ketegasan ‘Abang Pedas’ mencuri perhatian ramai. Kerana perasaan tidak puas hati terhadap Inspektor Ebrahim, Iris telah menganiaya dan memfitnah Inspektor Ebrahim. Fitnahnya itu telah menyebabkan Inspektor Ebrahim menghilangkan diri.

Pic

Ezzanie Jasny telah menempa nama sebagai model dan pelakon. Dia juga mengurus studionya di Setia Alam. Dek kepadatan jadualnya, dia tidak dapat memenuhi kesemua peluang lakonan yang ditawarkan kepadanya. Namun, watak Iris mempunyai daya tarik tersendiri buat Ezzanie.

Menceritakan lebih lanjut tentang apa yang menarik minatnya untuk memainkan watak Iris dalam ‘ILYS’, Ezzanie menyatakan bahawa persamaan yang ada antara dirinya dan watak Iris dalam kisah ini telah menarik minatnya untuk membawa watak tersebut.

“Sedikit sebanyak yang Ezzanie baca dalam novel ‘ILYS,’ Ezzanie nampak ada persamaan watak Iris dengan diri Ezzanie. Dia ada manja, serius, garang dan tegas,” ujarnya. Tambah pelakon jelita itu lagi, keinginannya untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang lasak turut menjadi asbab dia memilih untuk memainkan watak Iris. “Ada babak di mana Ezzanie kena bersilat dan ada babak bergaduh. Ni benda yang pertama kali Ezzanie buat,” terangnya.

Mengulas tentang pengalamannya berganding dengan MK, Ezzanie berkata, “MK sangat membantu dari segi membangkitkan mood untuk babak-babak tertentu.” Menurutnya, MK adalah jenis yang “masuk air” dan “sangat memudahkan kerja-kerja semua orang.” Personalitinya itu membantu dalam penjiwaan watak.

“Walaupun dia memang kaki pengacau, tapi dia tetap komited. Juga, kadang-kadang ada babak yang berat dan kami akan duduk bersama untuk berbincang tentang bagaimana kami ingin melaksanakannya.”

“Dia seorang yang banyak membantu dan seronok untuk bekerjasama dengannya.”

Ezzanie mengakui bahawa terdapat pelbagai detik yang tidak dapat dilupakan sewaktu penggambaran siri drama ini. Lokasi-lokasi menarik serta kenalan baharu yang “memang masuk air” menjadi antara memori indah.

“Yang paling tak boleh lupa, kena pegang ikan keli yang Ezzanie sendiri tak pernah pegang seumur hidup. Dah la tak makan, tak pernah beli pula apatah lagi nak pegang,” maklumnya. “Masa tu menangis menggigil la. Ia memang pengalaman yang menyeronokkan walaupun masa tu redha je,” katanya sambil tertawa.

Ezzanie percaya dengan bakat-bakat yang ditonjolkan menerusi drama ini. Katanya, barisan pelakon baharu dan lama yang menjayakan siri ini semuanya hebat belaka. Dia juga yakin bahawa sinematografi yang cantik juga akan membuat ramai tertarik dengan drama ini.

“Tambahan pula, dengan lokasi-lokasi yang pengarah Eyra Rahman pilih, memang akan buat anda semua jatuh cinta. Lagi, jalan ceritanya menarik – tak ada babak-babak klise. Yang penting, tak ada orang jahat dalam drama ni,” terangnya lagi. Kisah ini juga sarat dengan pelbagai iktibar dan pelajaran yang berguna.

Cerita Apa? ‘ILYS’
Hari Apa? Setiap Isnin – Jumaat
Jam Berapa? 7 malam
Di Mana? TV3

Afiqah Azizan