Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Boleh Saya Bantu?’

Kerjaya dalam bidang perhotelan sememangnya membawa kepada pengalaman yang unik dan menarik. Terdapat pelbagai ragam manusia yang dapat dilihat – bukan sahaja oleh para pengunjung malah dalam kalangan kaki tangan hotel jua. Itulah asas kisah slot Lestary terbaharu yang berjudul ‘Boleh Saya Bantu?’

Siri ini memberi perhatian kepada watak utama yang bernama Nasar. Dia baru sahaja diberhentikan kerja. Untuk mencari punca rezeki yang baharu, dia telah menghadiri sebuah temu duga di sebuah hotel 3 bintang. Nasar hadir dengan impian untuk menjadi seorang tukang angkut atau juga dikenali sebagai ‘bellboy’. Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana jawatan idamannya itu telah disandang oleh Sudin.

Walau bagaimanapun, Nasar tidak pulang dengan tangan kosong. Farida, pengurus hotel tersebut, telah menawarkan Nasar jawatan sebagai penyambut tetamu hotel. Tawaran yang dibuat oleh Farida itu telah menimbulkan persengketaan antaranya dengan Almya, pegawai sumber kemanusiaan di hotel itu.

Bukan mudah bagi Nasar untuk menyesuaikan diri di tempat baharu. Bukan itu sahaja isu yang dihadapinya. Sebagai seorang yang tidak mempunyai pengalaman, berhadapan dengan pelbagai masalah tetamu hotel amat merunsingkan jejaka ini.

Nasar perlu belajar cara untuk menyelesaikan masalah yang timbul dengan profesional dan cekap. Namun, mampukah dia melakukannya tanpa menjejaskan kedudukannya di tempat kerjanya itu? Adakah dia akan mendapat bantuan yang sewajarnya atau terkontang-kanting menyelesaikan kemelut di hotel itu seorang diri?

Cerita Apa? ‘Boleh Saya Bantu?’
Hari Apa? Setiap Khamis – Sabtu
Jam Berapa? 9 malam
Di Mana? TV3 dan Strim Sekarang melalui Tonton

Afiqah Azizan