Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Bukan Sekadar Lafaz’

Sebagai manusia biasa, perasaan cemburu itu bukanlah perkara luar biasa. Namun, sekiranya perasaan ini dibiar menguasai hati, ia boleh membawa kesan buruk. Siri terbaharu slot Akasia yang berjudul ‘Bukan Sekadar Lafaz’ menyingkap hal ini dengan lebih lanjut.

Tatkala Hud bertemu semula dengan Syikin, bibit cinta yang lalu bangkit kembali. Hud teringat akan memori lama sewaktu zaman sekolah. Dia pernah jatuh hati dengan gadis tersebut.

Kedua-dua mereka kini sudah mempunyai buah hati masing-masing. Syikin bersama Dr Firman manakala Hud pula bersama Lufya. Namun, realitinya adalah Lufya mempunyai perasaan terhadap Hud tetapi Hud hanya menganggapnya sebagai rakan biasa.

Hubungan Syikin dan Dr Firman tidak disenangi Aien yang merupakan adik tirinya. Ini kerana Aien juga menaruh hati terhadap Dr Firman. Rasa cemburu dan benci terhadap Syikin telah mendorong Aien untuk menyusun rancangan untuk menjatuhkan Syikin. Demi memuaskan hatinya, Aien sanggup berlaku jahat terhadap Syikin.

Disebabkan langkah yang diambil oleh Aien, Syikin tersungkur dan telah mengecewakan bapanya serta Dr Firman sendiri. Pada detik yang amat menguji dirinya, Hud telah muncul dan menawarkan diri untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Apakah yang akan terjadi kepada dinamik hubungan mereka ini?

Cerita Apa? ‘Bukan Sekadar Lafaz’
Hari Apa? Setiap Isnin hingga Jumaat
Jam Berapa? 7 malam
Di Mana? TV3

Afiqah Azizan