Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Malam Zulaikha’

Walaupun ada yang meragui, terdapat ramai yang berkongsi pengalaman berkenaan alam mistik. Salah satu topik yang meluas adalah berkenaan saka pendamping. Hal ini menjadi subjek utama dalam drama Samarinda terbaharu yang berjudul ‘Malam Zulaikha.’

Sejak mencecah usia 20 tahun, Zulaikha (dilakonkan oleh Sweet Qismina) sering mengalami gangguan mistik. Menyedari perkara ini, Izmir (dilakonkan oleh Adam Lee), rakan baiknya, telah mengatur pertemuan antara gadis tersebut dengan bapanya, Ustaz Rahim. Ustaz Rahim adalah seorang pakar dalam ilmu perubatan Islam.

Menerusi pertemuan tersebut, Ustaz Rahim telah mengesahkan bahawa Zulaikha mempunyai pendamping yang diwariskan kepadanya. Perkara ini telah mendorong Zulaikha untuk pulang ke kampungnya dengan segera demi mencari kebenaran. Izmir turut serta ke kampung Zulaikha.

Di kampung itu, mereka telah bertemu dengan nenek Zulaikha yang bernama Engku Salbiah (dilakonkan oleh Ku Faridah). Kehadiran Zulaikha telah mencetuskan rasa curiga yang mendalam buat Engku Sabiah. Ini kerana 20 tahun yang lalu, dia telah menyihir menantunya, Suria, supaya mandul. Maka tidak hairanlah yang Engku Salbiah tidak percaya bahawa Zulaikha adalah zuriat anak lelakinya, Ali.

Namun, kisah silam telah dibangkitkan dengan pendedahan oleh Mak Som, bidan yang telah menyambut kelahiran Zulaikha. Apakah yang bakal terjadi kepada kehidupan gadis ini?

Cerita Apa? ‘Malam Zulaikha’
Hari Apa? Setiap Isnin – Khamis
Jam Berapa? 10 malam
Di Mana? TV3 & Strim Eksklusif di Tonton

Afiqah Azizan