Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Rindu Kasih 2’

Membesarkan anak bukanlah perkara yang mudah. Lebih sukar lagi adalah membesarkan anak secara tunggal. Watak utama dalam siri slot Samarinda terbaharu yang berjudul ‘Rindu Kasih 2’ berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar kerana statusnya sebagai bekas banduan. Musim kedua ini dijayakan atas sambutan memberangsangkan oleh para penonton sekalian.

Kehidupan Salina amat sukar. Dugaan demi dugaan menimpa dirinya setelah dia keluar dari penjara dan harus melarikan dirinya daripada bekas suaminya, Amir. Tingkah laku bekas suaminya, Amir, yang gila talak menjadi masalah besar. Bukan itu sahaja, Amir juga menuntut hak penjagaan terhadap Fayad, cahaya mata mereka. Perkara ini sememangnya memberi tekanan yang amat hebat terhadap Salina. Kemunculan semula ibu mertua Salina, Halijah, juga menambah lagi ujian bagi Salina.

Selain itu, keretakan hubungan Hisyam dan Murni juga membawa kepada lemparan fitnah yang berat. Salina terpaksa berhadapan dengan fitnah bahawa dia menjalani hubungan sulit dengan Hisyam dan menyebabkan situasi tersebut.

Seperti jatuh ditimpa tangga, Salina juga diuji dengan penyakit yang dihidapi oleh Fayad yang kini berusia tujuh tahun. Kos perubatan yang perlu dibiayai amatlah tinggi.

Masalah hubungan sesama manusia, masalah kesihatan dan ujian kewangan sebegini merupakan realiti pahit yang dihadapi oleh sesetengah kalangan masyarakat. Apakah lagi ujian yang bakal dihadapi oleh Salina?

Jangan lupa untuk saksikan kisah ini yang dibintangi bakat-bakat hebat seperti Ummi Nazeera, Izzue Islam, Fazlina Ahmad Daud dan Dzul Hadziq.

Cerita Apa? ‘Rindu Kasih 2’
Hari Apa? Setiap Isnin – Khamis
Jam Berapa? 10 malam
Di Mana? TV3 dan strim sekarang melalui Tonton

Afiqah Azizan