Categories: Eat Travel

Bilakah anak kecil anda boleh mula makan makanan pedas atau berempah?

Sebaik sahaja dia dilahirkan, seseorang bayi itu hanya memerlukan susu badan atau formula sebagai sumber nutrisi tumbesarannya.

Ibu-ibu disyorkan untuk menyusu anak mereka secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama selepas dilahirkan.

Apabila seseorang bayi itu mencecah lingkungan umur empat ke enam bulan, dia sudah bersedia untuk mencuba makanan pejal.

Tetapi bagaimana pula dengan makanan yang berperisa kuat seperti kari ayam?

Menurut TheBabyCentre, anda boleh perkenalkan herba dan rempah sebaik sahaja anak kecil anda mula menikmati  finger food (makanan jejari).

“Kanak-kanak pun mahu makan makanan yang sedap, seperti orang dewasa,” kata Kristi King, seorang pakar diet kanan di Hospital Kanak-Kanak Texas.

Lagipun, anda mungkin sudah meningkatkan toleransi anak anda terhadap makanan pedas jika anda ada memakannya ketika menyusu.

Ini adalah kerana kesan perisa dan bahan ramuan akan disalurkan kepada anak anda menerusi susu badan.

Tetapi awas! Tunggu hingga umur anak anda mencecah sekurang-kurangnya setahun terlebih dahulu sebelum anda tambahkan kari, serbuk cili atau perisa yang kuat ke dalam dietnya.

Kanak-kanak yang berumur kurang daripada itu baharu sahaja membiasakan diri dengan makanan asas. Pada waktu ini juga mereka lebih sensitif terhadap makanan.

Foto: happyveggiekitchen.com

Apa yang patut dihidangkan?

Sebagai permulaan, gunakan dahulu rempah yang ringan rasanya seperti serbuk kayu manis atau serbuk pala. Jangan tambahkan gula atau garam, ya!

Semasa memperkenalkan perisa yang kuat, hidangkan makanan yang anda tahu anak anda boleh terima, dalam kuantiti yang sedikit.

Dengan cara ini, jika perutnya terasa sakit, anda sudah tentu tahu apa puncanya dan anda juga akan tahu makanan mana yang dia patut elak.

Perhatikan reaksi anak anda terhadap mana-mana makanan yang baharu diperkenalkan kepadanya.

Jika dia sensitif, berikannya makanan yang lembut sahaja buat sementara waktu.

Walaupun makanan pedas atau berempah jarang mencetuskan alahan, ia boleh meradangkan sistem pencernaan si pemakan dan menyebabkan refluk gastroesophageal.

Ad Ops