Categories: Eat Travel

Petua mudah kurangkan rasa masin tanpa menggunakan air

Masakan tanpa atau kurang garam, memanglah terasa hambar sesuatu hidangan itu.

Andai terlebih garam, masalah lain pula yang datang terutamanya bimbang tekanan darah mendadak naik bagi individu yang berisiko.

Oleh itu pengambilan garam yang juga sejenis natrium klorida perlu ada pengawalan dalam diet harian kerana dalam sehari, kita disarankan mengambil kurang daripada 2,300 miligram (mg) atau satu sudu teh saja untuk mengekalkan kesihatan yang baik.

Katakanlah sesuatu hidangan itu terlebih masin, bagaimanakah caranya untuk mengurangkan rasa masin itu tanpa menggunakan air?

Tidak dinafikan penggunaan air salah satu cara yang efektif, akan tetapi dengan menambah air membuatkan hidangan itu cair lebih-lebih lagi yang menggunakan santan.

Justeru itu, Hijab & Heels kongsikan petua kurangkan masin dalam masakan tanpa menjejaskan rasanya.

1. Pelepah pisang

Foto: Muhir Blogspot

Gunakan pelepah pisang untuk kurangkan rasa masin. Potong dalam 4 sentimeter, bersihkan dan masukkan dalam lauk dan didihkan bersama sehingga lauk masak. Kemudian buang pelepah dan siap di hidang.

Selain pelepah pisang, daun pisang juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa masin. Biarkan seketika dalam hidangan selama 30 minit.

2. Kentang

Kalau lauk yang dimasak terasa masin, masukkan sebiji kentang untuk mengimbangi rasa masakan. Dengan menggunakan kentang ia bukan saja dapat menyerap rasa masin, malah membuatkan hidangan tambah menyelerakan.

Paling penting sebelum makan pastikan kentang itu benar-benar empuk. Boleh juga gantikan dengan sayur-sayuran yang tinggi kandungan air seperti terung dan timun.

3. Beras

Foto: Sebenarnya.My

Masukkan sedikit beras yang dah dibasuh ke dalam sehelai kain bersih yang jarang. Ikatkan seperti bunjut dan masukkan ke dalam lauk yang terlebih masin.

Bunjut beras ini akan menyerap lebihan rasa masin dalam lauk. Bila lauk dah siap masak dan rasanya pun sekata asingkan bunjut beras tadi.

Anda juga boleh aplikasikan teknik yang sama pada hampas kelapa. Masukkan bunjut hampas kelapa ke dalam lauk dan masak bersama dalam 15 ke 20 minit.

Bunjut hampas kelapa dapat membantu membuang rasa masin berlebihan dan turut memberi rasa lemak pada lauk.

4. Cebisan roti

Bunyinya macam tidak logik tetapi cebisan roti dapat menyerap rasa masin bahkan mengekalkan kepekatakan kuah. Sebaiknya letakkan roti di dalam penapis atau ikat seperti bunjut sebelum dicelur dalam kuah untuk mengelakkan ia daripada pecah.

Mudah saja kan petua yang dikongsikan ini. Selamat mencuba!

Yanie Baharom