Categories: Eat Travel

Resipi mudah biskut sarang semut, sedapnya sampai licin balang kuih

Biarpun muncul pelbagai biskut raya moden di pasaran, namun biskut raya tradisional seperti biskut sarang semut masih tetap menjadi pilihan dan kegemaran ramai.

Rasanya yang rapuh dan cair di mulut membuatkan kita sukar untuk berhenti mengunyah sehingga tanpa sedar habis licin balang kuih dibuatnya.

Berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum kita menyambut Aidilfitri, apa kata kita buat biskut raya sarang semut yang sangat mudah dan sedap yang pasti akan mengembalikan nostalgia raya kita semua.

Biskut sarang semut sangat sesuai dijadikan kudapan untuk dinikmati ketika duduk beraya di rumah nanti. Jom lihat resipi biskut sarang semut yang dikongsi oleh Nazatul daripada laman masakan, Buat Orang Lapo.

 

Bahan-bahan:

  • ½ cawan gula Kastor (100 gram)
  • 250 gram mentega
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • Sedikit pewarna makanan (kuning)
  • 2 cawan tepung gandum (250 gram)
  • 1 ¼ cawan tepung kastard (155 gram)
  • ¾ cawan tepung jagung (95 gram)

Cara penyediaan:

  1. Masukkan gula dan mentega ke dalam mesin pengadun (mixer). Pukul sehingga sebati, tetapi jika tiada mesin pengadun, boleh guna alat pemukul telur (whisk) atau senduk kayu.
  2. Kemudian masukkan kuning telur, esen vanila, pewarna makanan dan pukul sebati.
  3. Masukkan tepung gandum, tepung kastard dan tepung jagung. Pukul sehingga tepung sekata dengan bahan-bahan tadi. Boleh juga menggunakan tangan untuk menguli tepung.
  4. Pukul sehingga doh menjadi lembut dan tidak melekat pada tangan.
  5. Ambil doh dan parut menggunakan bahagian parut yang halus.
  6. Dengan menggunakan garfu, letak doh dengan kuantiti yang penuh ke dalam cawan kertas. (doh akan menurun apabila dibakar).
  7. Letakkan hiasan seperti coklat urai atau manik kecil berwarna-warni.
  8. Kemudian bakar pada suhu 160 darjah Celsius selama lebih kurang 20 minit.

Biskut sarang semut yang rapuh dan sedap, siap untuk dinikmati ketika Hari Raya nanti. Selamat mencuba!

Kredit gambar dan video: Buat Orang Lapo

Ad Ops