Categories: Eat Travel

Salahkah beri makan kekacang kepada bayi ekzema? Ini jawapannya

Oleh Syarifah Fatin Anisa Tuan Said Shakh

Bayi boleh mula menikmati makanan pepejal seawal usia empat bulan, namun ia juga bergantung kepada ibu yang ingin menyusu bayi mereka sehingga mencapai usia tertentu.

Dalam hal ini, banyak makanan yang boleh diperkenalkan kepada bayi anda termasuklah kekacang. Ramai orang beranggapan bahawa bayi tidak digalakkan untuk diberi kekacang sehingga mencecah usia empat tahun kerana dikhuatiri mempunyai alahan apabila memakannya.

Foto: Sunnyland Farms

Bagaimanapun, Akademi Pediatrik Amerika (AAP) mempunyai pendapat berlainan mengenai perkara ini. Menurut kajian, melambatkan pengambilan kacang seperti kacang tanah sebenarnya tidak melindungi bayi daripada alahan dan memberikannya pada usia yang lebih awal adalah lebih baik.

Terdapat panduan yang spesifik berdasarkan kajian yang telah dijalankan mencadangkan supaya bayi diberi makan kekacang lebih awal.

Ini kerana, risiko untuk menghidap alahan adalah lebih rendah. Ia juga disarankan supaya bayi yang menghidap ekzema atau alahan kepada telur diberikan kekacang pada usia seawal empat hingga enam bulan.

Foto: National Public Radio

Jika anda berjumpa dengan doktor, mereka mungkin akan mencadangkan supaya kekacang tersebut diberikan kepada bayi anda di hadapan mereka. Ini bagi mengenal pasti sama ada bayi anda mempunyai alahan terhadap kekacang.

Bayi yang mempunyai tahap ekzema yang sederhana boleh mula memakan kekacang pada usia enam bulan manakala bayi yang tidak mempunyai sebarang risiko alahan tidak mempunyai masalah untuk menikmatinya setelah memulakan makanan jenis pepejal.

Anda haruslah menghancurkan kekacang tersebut dan mencampurkannya ke dalam makanan terlebih dahulu. Cara hidangan yang terbaik adalah dengan memasaknya bersama-sama dengan makanan pepejal.

Foto: Cone Health

Jika anda masih tidak yakin, berjumpalah dengan pakar kanak-kanak bagi mengetahui mengenai pengambilan makanan yang berkhasiat buat si manja kesayangan anda!

tex_admin