Categories: familuv

Ini cara tetapkan Netflix supaya selamat ditonton oleh si kecil

Netflix menawarkan pelbagai jenis kandungan, termasuklah rancangan TV, filem dan dokumentari, tetapi bukan semuanya sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak.

Walaupun platform penstriman ini turut menawarkan rancangan khas untuk kanak-kanak, jika tidak dipantau, si kecil masih mempunyai akses kepada kandungan yang tidak sesuai untuknya.

Antaranya adalah rancangan television Barat yang mempunyai rating dewasa dan mengandungi elemen-elemen ganas atau aksi-aksi seksual.

Supaya si kecil tidak menonton sebarang rancangan ini tanpa izin, ibu bapanya perlu tetapkan kawalan “Parental Control” bagi akaun Netflix mereka. 

Bagi sesiapa yang tidak tahu cara untuk membuat tetapan ini, bolehlah ikuti langkah-langkah yang dikongsikan di bawah.

Langkah-langkah:

Daftar masuk akaun Netflix menerusi web browser (jangan pakai app). Klik pada profil pengguna di bucu kanan atas dan pilih ‘Account.’

Dalam muka surat seterusnya, klik pada “Parental controls”.

Untuk teruskan kepada langkah seterusnya, anda akan diminta untuk memasuki kata laluan akaun anda. Langkah ini memastikan si kecil tidak akan boleh menukar sebarang tetapan dengan sendiri (melainkan dia tahu apa kata laluan anda).

Kemudian, klik pada ‘Create PIN.’

Seterusnya, masukkan empat nombor kod PIN dan klik pada “Save”.

Menerusi garisan hijau di bawah, anda boleh tetapkan had umur penonton, iaitu Little Kids, Older Kids (umur 7+), Teens (umur 13+) dan Adults (umur 16+).

Contohnya, jika anda tetapkannya seperti di atas, semua rancangan yang dikenakan rating dewasa (Adults) memerlukan kod PIN untuk ditonton. Maknanya, jika anak anda ingin menonton rancangan Adults, dia akan diminta untuk memasukkan nombor PIN yang telah anda tetapkan tadi.

Jika anda pilih titik paling hujung dari kiri (semua garisan hijau bertukar menjadi kelabu), itu bermakna semua rancangan Netflix yang ingin ditonton mesti melalui kod PIN terlebih dahulu.

Selain itu, anda juga boleh mengehadkan sesuatu rancangan daripada ditonton, tanpa mengira had umur. Taip sahaja tajuk rancangan berkenaan di ruang yang disediakan. 

Contohnya, jika anda memasukkan rancangan Riverdale dalam senarai, untuk menontonnya, anda tetap perlu memasukkan kod PIN.

Akhir sekali, klik ‘Save.’

Panduan: Jika anda terlupa nombor kod PIN, klik sahaja pada pautan ‘Forgot PIN?’ Anda akan diminta untuk memasukkan kata laluan bagi akaun Netflix anda.

Itu sahaja. Mudah sebenarnya. Semoga bermanfaat! 

Ad Ops