Categories: FeaturedSihat

7 panduan perlu diamalkan wanita hamil ketika wabak COVID-19

Kehamilan ketika penularan wabak penyakit yang tiada penawar seperti COVID-19 pasti membimbangkan kebanyakan wanita terutama memikirkan kesihatan anak dalam kandungan.

Cara terbaik bagi mengelakkan jangkitan adalah dengan kekal duduk di rumah jika tiada kerja, namun jika wanita hamil itu perlu untuk bergerak ke tempat kerja mereka perlu mengamalkan penjagaan kebersihan kendiri.

Menurut Harper’s Bazaar Arabia, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Emiriyah Arab Bersatu, Dr Tazyeen Faisal, menasihatkan wanita hamil supaya lebih peka dengan kebersihan diri mereka kerana kehamilan menyebabkan mereka turut disenaraikan dalam kumpulan berisko.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi UAE, Dr Tazyeen Faisal. (Kredit gambar Facebook)

“Antara perkara yang perlu dilakukan ketika berlaku penularan wabak seperti COVID-19 ini adalah meningkatkan pertahanan diri. Cara terbaik terutama bagi wanita hamil untuk kekal sihat adalah dengan mengambil vitamin C setiap hari.

“Selain itu, pastikan sentiasa kekal hidrat dengan minum air sepanjang hari dan paling penting kerap membasuh tangan,” katanya.

Berikut adalah 7 panduan mudah bagi membantu wanita hamil untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan COVID-19:

1. Tingkatkan keimunan diri

Pengambilan buah-buahan dapat meningkatkan daya keimunan badan. (Gambar hiasan)

Ambil multivitamin setiap hari dan bagi wanita hamil boleh mendapatkan nasihat daripada pakar O&G dos bersesuaian untuk vitamin C. Sebaik-baiknya galakkan ahli keluarga lain untuk turut mengambil vitamin C.

2. Kerap basuh tangan

Nasihat paling mudah sebenarnya adalah paling berkesan, iaitu basuh tangan secara kerap dengan sabun dan air terutama apabila berada di tempat awam.

3. Tidur secukupnya

Wanita hamil perlu mendapatkan tidur yang mencukupi kerana badan yang tidak mendapat tidur yang baik akan mudah lesu dan mengakibatkan terdedah kepada penyakit. Sebaik-baiknya tidur antara tujuh hingga lapan jam sehari.

4. Kekal hidrat

Minum air dengan banyak untuk mengelakkan daripada ternyahhidrat dan pastikan anda tambah menu sayur-sayuran hijau dalam pemakanan harian bagi meningkatkan kesihatan diri.

5. Penjarakan sosial

Jadikan norma baharu penjarakan sosial sebagai budaya dalam hidup anda. Tidak perlu tunggu untuk menjauhkan diri daripada individu yang bergejala kerana laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 80 peratus pesakit COVID-19 tidak bergejala.

6. Pakai pelitup muka

Keluar rumah apabila perlu sahaja dan pastikan jika anda keluar, pakai pelitup muka sepanjang masa terutama apabila berada di tempat awam.

7. Bekerja dari rumah

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di kebanyakan negara yang terkesan akibat COVID-19 menyebabkan kebanyakan kerja dilakukan dari rumah. Majikan boleh bertoleransi dengan membenarkan wanita hamil untuk terus kekal bekerja dari rumah walaupun kelonggaran keluar rumah sudah diberikan.

Fadzlena Jafar