Categories: Eat TravelFeatured

Kubu Batu Kering, Machu Picchu Dinobat Tarikan Pelancong Terkemuka Dunia

Ada apa dengan Machu Picchu, Peru?

Merangkul anugerah Tarikan Pelancong Terkemuka Dunia untuk sekian kalinya, tentu saja ia sebuah lokasi percutian yang mengagumkan!

Pengumuman itu dilakukan pada Majlis Gala Grand Final Anugerah Pelancongan Dunia (WTA) 2018 yang berlangsung di Lisbon, Portugal baru-baru ini.

Semasa acara itu, negara Inca (Empayar Inca, Peru) turut memenangi tiga anugerah lain iaitu Destinasi Kulinari Terkemuka, Destinasi Kebudayaan Terkemuka dan Lembaga Pelancong Terkemuka.

Foto: Kanoo Tours

Machu Picchu adalah sebuah kubu kota Inca abad ke-15, yang terletak di Cordillera Timur di selatan Peru, di wilayah pergunungan pada ketinggian 2,430 meter di atas paras laut.

Kebanyakan ahli arkeologi percaya bahawa Machu Picchu telah dibina sebagai sebuah estet untuk Maharaja Inca, Pachacuti (1438-1472).

Puak Inca telah membina estet itu sekitar 1450 namun meninggalkannya seabad kemudian semasa Penaklukan Sepanyol.

Machu Picchu telah dibina dalam gaya klasik Inca dengan dinding batu kering yang berkilat.

Tiga struktur utamanya terdiri daripada Intihuatana, Kuil Matahari dan Ruangan Tiga Jendela.

Foto: G Adventures

Machu Picchu telah diisytihar sebagai sebuah Sanktuari Bersejarah Peru pada 1981 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1983.

Pada 2007, Machu Picchu telah dipilih sebagai satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Baharu dalam satu tinjauan Internet di seluruh dunia.

Sumber: Astro Awani

Yanie Baharom