Categories: Eat TravelFeatured

Libur gaya baharu, tidak perlu keluar rumah. Ketahui bagaimana!

Hujung minggu lazimnya diluangkan bersama-sama keluarga dengan menonton wayang atau sekadar cuci mata di pusat beli-belah. Bagi yang mempunyai duit lebih, mungkin hujung minggu dimanfaatkan dengan bercuti di pusat peranginan di tepi laut atau di tengah hutan yang mendamaikan.

Bagaimanapun, ada kalanya banyak urusan perlu dilunaskan pada hujung minggu seperti mengemas rumah, menggosok baju sekolah atau sekadar menghabiskan tugasan pejabat yang perlu diberi keutamaan.

Rancang percutian menyeronokkan yang tidak memerlukan anda keluar dari rumah dengan menyusun kegiatan anak bersama-sama rakan di kawasan kejiranan.

 

Perpustakaan bergerak berhampiran kediaman boleh mengisi masa hujung minggu anak mahupun seisi keluarga – gambar hiasan. Foto: NSTP/Nik Harif Hassan.

Selain menjalankan tugas di rumah, anda juga dapat melihat anak membesar di hadapan mata. Hijab & Heals ingin berkongsi dua aktiviti ini dengan ibu bapa yang mungkin tiada idea untuk menyediakan kegiatan untuk anak-anak di rumah lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

Apa yang ingin dikongsikan ini boleh dilakukan pada musim cuti sekolah juga dan tidak semestinya pada hujung minggu.

1. Sediakan aktiviti dengan elemen pembelajaran yang kondusif

Ibu bapa boleh menjemput Mobile Book Café atau perpustakaan bergerak datang ke rumah bagi menggalakkan anak-anak membaca. Untuk lebih meriah, jemput rakan anak-anak untuk bersama-sama membaca di dalam perpustakaan bergerak di perkarangan rumah anda.

Bagaimanapun, bayaran mungkin dikenakan mengikut jam sekiranya ingin menjemput Mobile Book Café datang ke kediaman anda. Cuba berbincang dengan ibu bapa lain di kejiranan anda agar kanak-kanak di kejiranan itu boleh melakukan kegiatan sama.

Kegiatan mewarna biasanya digemari kanak-kanak – gambar hiasan. Foto: NSTP

2. Mengadakan bengkel kemahiran

Kebiasaannya hanya orang dewasa sahaja yang memasuki bengkel kemahiran seperti bengkel membuat kek, bengkel kraf atau bengkel solekan. Apa kata sediakan bengkel khusus untuk anak di rumah seperti bengkel melukis dan bengkel origami. Kini ada ramai pengendali bengkel yang boleh diundang ke rumah.

Kanak-kanak biasanya akan fokus apabila melakukan aktiviti yang mereka minat – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Kanak-kanak diketahui umum mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan tidak kekok mencuba sesuatu yang baharu. Oleh itu, sediakan bengkel yang memerlukan mereka berfikir secara kreatif dan jangan memandang remeh kebolehan mereka walaupun kemahiran motor (motor skills) mereka tidak sama dengan orang dewasa.

Tanya anak-anak juga apa yang mereka mahu lakukan ketika cuti, berdasarkan jawapan mereka, anda boleh merancang mengadakan bengkel mini untuk anak-anak di rumah, jadikan sesi berkenaan sebagai masa libur paling membahagiakan untuk zuriat kesayangan anda

Shaidah Shafie