Categories: Eat TravelFeatured

Maggi Burger Kuarantin, pasti tak menyesal duduk di rumah!

Stok makanan ini pasti ada di rumah sesiapapun, lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang apabila seluruh rakyat perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk minggu ketiga.

Kebimbangan orang ramai dijangkiti COVID-19, membuatkan mereka tidak berani ke pasar untuk membeli barang basah, lalu bekalan makanan sejuk beku dan mi segera merupakan penyelamat pada kala darurat!

Meskipun umum tahu mi segera dan makanan sejuk beku seperti burger, bukanlah makanan yang berkhasiat, namun sepanjang tempoh PKP ini, kita perlu menyesuaikan diri. Makan apa yang ada, supaya terus kekal di rumah.

Berasaskan dua jenis makanan ini, Hijab & Heels ingin berkongsi cara-cara membuat maggi burger, yang merupakan menu signature kedai mamak popular, Bestari.

Mesti anda semua rindu lepak di kedai mamak, alangkah seronoknya jika dapat pekena teh tarik dan roti canai!

Berbalik pada menu yang penulis namakan sebagai Maggi burger kuarantin, resipi ini diberi sedikit improvisasi, menukar IndoMie kepada Maggi Kari. Bahkan cita rasanya juga ditukar pada rasa tempatan.

Bahan-bahan:

Foto: Archive Hijab & Heels

Mi segera kari jenama Maggi
Burger daging (nak guna burger ayam pun boleh)
Bawang besar
2-3 ulas bawang putih
3 tangkai cili padi
Sebuk perasa

Cara membuatnya:

1. Celur terlebih dulu mi segera tadi. Agak-agak separuh masak (supaya tidak terlalu kembang ketika menggoreng nanti) angkat dan tos. Buang air rebusan kerana ia mengandungi lilin makanan.

Foto: Archive Hijab & Heels

2. Tuangkan sedikit saja minyak masak ke dalam kuali yang sudah panas, tunggu seketika kemudian masukkan daging burger. Goreng sehingga masak dan angkat.

Foto: Archive Hijab & Heels

3. Langkah seterusnya, masukkan bawang merah, bawang putih (diketuk) serta cili padi. Apabila rencah tumisan sudah naik bau, masukkan mi segera, burger daging, sedikit serbuk perasa, berserta perencah kari Maggi (separuh saja kerana ia mengandungi Ajinamoto).

4. Letakkan sedikit air supaya mudah menggaulnya

Foto: Archive Hijab & Heels

5. Gaul sebati dan potong burger daging menjadi kepingan kecil.
6. Tutup api dan sedia dihidangkan.

Foto: Archive Hijab & Heels

Mudahkan resipi Maggi burger kuarantin ini?

Agak-agak buntu nak makan apa hari ini, bolehlah mencubanya

Yanie Baharom