Categories: FeaturedOh Lawa

Minum air rebusan epal hijau dan serai setiap hari, badan tetap ‘maintain’ walaupun PKP

Agak-agak sepanjang tiga minggu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), dah berapa kilogram berat badan bertambah?

Rakan baik penulis khabarnya mengalami pertambahan berat badan sebanyak 6 kilogram, bererti setiap minggu dia mengalami kenaikan sebanyak 2 kilogram. Takutnya!

Ada yang risau duduk di rumah kerana dulunya bentuk badan berpotongan kerengga, sekarang semakin membulat dan ada juga yang seronok sebab kulit makin cantik sebab kurang pendedahan sinaran ultralembayung (UV).

Baru-baru ini penulis terbaca mengenai kebaikan air rebusan epal hijau dan serai yang bukan sahaja boleh membantu menurunkan berat badan, tetapi juga membuatkan kulit kelihatan berseri-seri.

Fakta ini tidak menghairankan sebenarnya, kerana berdasarkan kajian pakar pemakanan epal hijau bukan hanya dapat membantu menurunkan tekanan darah tinggi dan melancarkan perjalanan darah, malah menurunkan kadar kolesterol dalam badan.

Pada masa sama, penyakit berkaitan sistem kardiovaskular dapat dihindari. Kulit buah ini juga mengandungi vitamin yang membantu permukaan kulit wajah agar sentiasa cantik berseri.

Memetik kenyataan Dr Zubaidi Ahmad, mengamalkan pengambilan epal hijau setiap hari sememangnya digalakkan, terutama bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Ia juga mempunyai pelbagai khasiat seperti zat besi, magnesium, kalium, kalsium, soldium, vitamin C, vitamin A, vitamin B dan serat yang mudah larut.

Serai pula merupakan sejenis herba tinggi antioksidan yang berkesan untuk mengawal kolesterol dalam badan dan juga meningkatkan kesihatan tubuh serta minda. Ia mengandungi vitamin seperti vitamin B1, vitamin A, vitamin B2, vitamin B3, vitamin B6, dan folat. Selain itu. Serai kaya dengan sumber mineral yang baik seperti zat besi, tembaga, kalium dan kalsium.

Memandangkan epal hijau dan serai adalah satu gabungan yang baik untuk memperoleh kesihatan luar dan dalam, memberi efek luar biasa pada kulit serta menurunkan berat badan anda, maka air rebusan epal dan serai harus diamalkan setiap hari.

Bahan-bahan

3 biji epal hijau

5 batang serai diketuk

1.5 liter air

Cara-cara

1. Potong epalkepada enam bahagian.

2. Serai lima batang diketuk.

3. Masukkan 1.5 liter air dalam periuk.

4. Air rebusan ini siap apabila epal menjadi lembik.

5. Minum ketika suam-suam.

Nota: Untuk membangkitkan aroma dan keenakan pada minuman, boleh campurkan kurma merah, lemon serta daun pandan. 

Khasiat air rebusan epal hijau dan serai.

Mengeluarkan angin dalam badan

 Mengempiskan perut

Menurunkan berat badan

Cepat kenyang

Awet muda

Kulit cerah

Mengurangkan kolestrol

Menghilangkan sakit badan/urat

Sesuai untuk orang sakit lutut

Menghilangkan sakit tumit

Meringankan tubuh badan

 

Selamat mencuba!

Yanie Baharom