Categories: FeaturedSihat

Berhati-hati beli produk kesihatan dalam talian

Tuntutan kerja demi menyara kehidupan kadangkala menjadikan kita lupa mengenai penjagaan kesihatan yang sangat berharga dalam hidup.

Pepatah ‘kesihatan adalah kekayaan’ itu sewajarnya sentiasa diingat agar kita mengambil berat mengenai tahap kesihatan diri sendiri.

Hari ini ramai yang mengambil makanan tambahan seperti vitamin atau multivitamin bagi meningkatkan kesihatan diri, lebih-lebih lagi begitu banyak produk seumpama itu ditawarkan dan dijual menerusi atas talian.

Urus niaga pembelian juga kini semudah ABC, dengan hanya membaca testimoni pengguna terdahulu, tidak mustahil ramai terpengaruh dengan keberkesanan produk ditawarkan itu.

Oren adalah sumber terbaik vitamin C – gambar hiasan. Foto: NSTP/Khairul Azhar Ahmad.

Bagus sekiranya peka dengan keperluan kesihatan, namun sebelum membeli produk sebegitu pastikan ia mendapat kelulusan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kelulusan berkenaan diperlukan bagi memastikan mutu, keberkesanan dan keselamatan produk berkenaan diperoleh menerusi skim pendaftaran dan perlesenan yang betul.

Dr Izzar Anwari Abdul Khani yang juga suami kepada pelakon Ummi Nazeera Zainal Abidin dalam perkongsian menerusi akaun media sosial Instagram @izzar menjelaskan banyak kes pemalsuan berlaku membabitkan makanan tambahan itu.

“Ada syarikat mendaftar produk mereka sebagai vitamin sahaja, tetapi apabila mendapat kelulusan NPRA, mereka menukar pembungkusan dan mendakwa vitamin dikeluarkan berupaya menyembuhkan pelbagai penyakit.

“Sebab itulah ada kes peniaga menjual ubat yang didakwa mampu menyembuhkan banyak penyakit, malah menghebahkan sudah mendapat kelulusan atau sudah berdaftar dengan KKM,” tulisnya di akaun Instagram miliknya itu.

Sehubungan itu, sebagai pengguna sikap berhati-hati perlu bagi mengelakkan tertipu dengan bermacam jenis produk yang dikatakan boleh menyembuh, menurunkan berat badan atau membekalkan tenaga tambahan.

Pastikan produk makanan kesihatan yang dibeli tertera logo MAL pada kotak pembungkusan. Sumber: Instagram Dr @izzar

Dr Izzar berkata, bagi memastikan produk dijual berdaftar dengan KKM, pembeli boleh meneliti nombor pendaftaran produk itu di laman sesawang NPRA dengan menggunakan nombor MAL yang biasanya ada tertera pada kotak pembungkusan.

“Jika anda berasa was-was dengan produk yang mahu dibeli, tanya penjual adakah produk mereka ada nombor pendaftaran MAL dan juga periksa pelekat hologram meditag.

“Jika tiada pelekat hologram atau tiada nombor MAL, lebih baik jangan beli produk yang dijual itu,” jelasnya lagi.

Diharap panduan ringkas itu dapat melindungi pembeli daripada tertipu dengan ubat-ubatan yang sebenarnya hanyalah vitamin untuk kesihatan sahaja.

Shaidah Shafie