Categories: FeaturedSihat

Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, tiada alasan untuk tidak bersenam

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bakal dilanjutkan sehingga 14 April depan membuatkan ramai wanita yang gemar bersenam di gimnasium terpaksa mengambil alternatif baharu bagi memastikan diri kekal aktif.

Meskipun PKP mengehadkan aktiviti luar sepanjang tempoh perintah itu dikuatkuasakan, bukan alasan untuk masyarakat tidak menjalani gaya hidup sihat khususnya bersenam.

Bagi yang belum bermula, masih belum terlambat untuk membuat jadual senaman sepanjang PKP ini.

Kredit gambar: Fit People

Antara rutin senaman yang boleh dilakukan di rumah adalah seperti regangan badan, lari dan lompat setempat, lompat bintang, bangkit dan tekan tubi, lompat tali, naik turun tangga rumah, lompat katak serta senaman kardio seperti senamrobik dan zumba.

Selain itu, menerusi kemudahan teknologi terkini dan saluran Internet yang ada, orang ramai juga boleh menonton pelbagai video kaedah senaman yang bersesuaian di laman sesawang kecergasan serta YouTube.

Kredit gambar: The Fabletics Blog

Terbaharu, jurulatih kecergasan popular, Kevin Zahri turut berkongsi video beliau bersama-sama 30 jurulatih kecergasan yang lain mengambil inisiatif dengan mengadakan kelas senaman dalam talian menerusi tanda pagar #covid19homeworkout bagi menggalakkan orang ramai bersenam di rumah.

Masyarakat khususnya wanita kini boleh mengikuti kelas senaman secara langsung dan percuma secara dalam talian menerusi aplikasi Instagram dan Facebook untuk mengekalkan kecergasan serta meningkatkan sistem imunisasi diri.

Jadi, sama-samalah kita memanfaatkan tempoh PKP dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan melakukan aktiviti kecergasan bersama-sama keluarga tercinta.

Kredit gambar: Wellnessliving.com

Ad Ops