Categories: Eat TravelFeatured

Rahsia cekodok pisang tidak serap minyak, rangup dan sedap!

Cekodok pisang atau turut kenali dengan nama jemput-jemput pisang merupakan menu minum petang yang sangat digemari ramai.

Bukan sahaja mudah disediakan, cekodok pisang juga sedap dinikmati panas-panas begitu sahaja. Namun begitu, jika tidak mengetahui teknik atau resipi yang betul, silap-silap cekodok pisang yang disediakan menyerap minyak yang banyak.

Kredit gambar: norazlitaazizblogspotcom

Jika dibeli di gerai kuih pula, tiga biji cekodok comel yang dicucuk pada buluh pencucuk  itu lazim dijual dengan harga lebih kurang RM1. Apa kata anda pelajari resipi cekodok pisang dan buat sendiri di rumah. Selain menjimatkan, pastinya boleh menikmatinya dengan puas. Paling penting, sedap kerana jumlah gula yang digunakan tidak banyak dan rasa manis itu datang daripada pisang yang digunakan.

Bahan yang diperlukan:

  • 8 biji pisang emas (Nota: Boleh gantikan dengan pisang lain seperti pisang bunga. Jika bersaiz besar, hanya guna lima biji pisang sahaja)
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar gula pasir
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat
  • Secubit garam
  • 1 sudu marjerin

Cara penyediaan:

  1. Lenyek pisang sehingga hancur dan campurkan gula serta garam secukup rasa.
  2. Seterusnya, masukkan marjerin dan soda bikarbonat. Kacau atau gaul sehingga sebati.

Nota: Marjerin merupakan bahan rahsia yang digunakan untuk menghasilkan tekstur luar yang rangup dan wangi. Ia juga bertindak agar minyak tidak menyerap ke dalam cekodok.

  1. Kemudian, masukkan tepung gandum dan gaul sehingga adunan sekata.
  2. Biar seketika dalam lima hingga 10 minit.
  3. Pada masa sama, panaskan minyak dan apabila minyak sudah betul-betul panas, jemputkan adunan dengan jari.
  4. Goreng dengan api sederhana sehingga garing.

Cekodok pisang siap untuk dihidang! Memang sedap dinikmati seisi keluarga. Selamat mencuba!

Ad Ops