Penyanyi Adira Suhaimi akhirnya sah bercerai dengan talak satu selepas Datuk Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red,  46, melafazkan talak tersebut dihadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Selangor.

Menurut Abdul Hadi, lafaz tersebut sah mengikut hukum syarak yang ditetapkan.

Dalam pada itu,  Datuk Red difahamkan kelihatan sayu ketika prosiding tersebut berlangsung, manakala Adira kelihatan tenang.

“Bahawa saya Adnan Abu  menceraikan Adira Suhaimi dengan talak satu,” lafaznya.

Difahamkan juga, Adira bersetuju tidak menuntut sebarang nafkah terhadap bekas suaminya itu.

Adira ketika ditemui sebelum prosiding lafaz perceraian berlangsung memaklumkan, keputusannya tetap sama iaitu ingin meneruskan perceraian dan berharap segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Alhamdulillah, moga segalanya dipermudahkan dan segalanya berjalan seperti apa yang dibincangkan.

“Saya boleh cakap keputusan saya tetap sama. Paling penting tenang,” katanya.

Terdahulu, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Datuk Red pada 1 April 2019, namun menarik semula permohonan tersebut dengan alasan mahu berbaik demi anak-anak.

Dan, pada 25 Oktober 2024, Adira sekali lagi memfailkan perceraian di Mahkamah sama atas alasan tiada persefahaman.

Kemudian, pada 5 Mac lalu, prosiding keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara mereka gagal apabila penyanyi itu tetap nekad untuk berpisah.

Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin