Ibu Tercinta Meninggal Dunia Pada Awal Ramadan, Nasha Aziz Masih Berduka… Sempat Ucap Selamat Hari Raya Kepada Peminat

Aktres versatil, Nasha Aziz masih berduka di atas pemergian ibunda tercinta yang telah menghadap Ilahi awal Ramadan lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Instagram Stories, pihak pengurusan Nasha memaklumkan aktres filem popular, Bara itu masih meratapi kehilangan ibunya tercinta.

Malah, Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, turut sempat merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada peminatnya selain memohon semua mendoakannya agar diberi kekuatan.

“Kami merakamkan kemaafan yang tak terhingga atasa ketiadaan Nasha Aziz yang meratapi kehilangan ibunya sejak awal Ramadan lalu.

“Dia menghargai semua kasih sayang dan sokongan daripada peminat serta mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf Zahir Batin.

“Mohon selit namanya dalam doa kalian untuk diberi kekuatan dalam menempuh ujian yang sukar ini. Dia akan kembali tidak lama lagi,” tulisnya dalam sebuah kenyataan.

Menjengah ke profil Nasha, kemaskini terakhir yang dibuatnya adalah pada Februari lalu dengan memuat naik momen dia mengerjakan ibadah Umrah, penghujung tahun lalu.

Terdahulu, Nasha memaklumkan dia terpaksa mengenepikan soal jodoh semata-mata mahu menjaga ibu kandung dan ibu angkatnya yang masing-masing sudah kematian suami.

Khairil Khusyairi