Penangan Video ‘Abang POV’, Aizat Saha Ditawar RM500,000 Jadi ‘Anak Ikan’

Pempengaruh media sosial, Aizat Saha mendedahkan pernah menerima mesej nakal daripada beberapa individu di media sosial.

Bercakap kepada XTRA, Aizat atau nama sebenarnya Mohd Aizat Saharuddin memaklumkan ada individu yang dipercayai seorang ‘sugar mommy’ menawarkan wang sebanyak RM500,000 kepadanya semata menjadi ‘anak ikan’.

“Ada beberapa mesej-mesej nakal tetapi saya tidaklah layan.

“Ada sekali itu saya dapat mesej langsung (DM) dia cakap, ‘Saya sugar mommy lebih kurang macam itu, nak bagi RM500,000. Tolong balas DM saya’.

“Tetapi saya tak adalah balas DM tersebut sebab saya bukannya hidup untuk duit dengan cara yang macam itu,” katanya.

Ujar bekas pramugara itu lagi, dia tidak menerima tawaran sebegitu kerana menyifatkan ia sumber yang tidak baik.

“Bila saya dapat tawaran itu, saya macam tergamam tetapi tak apalah saya tak akan terima.

“Pada saya, duit banyak mana sekalipun tetapi kalau datangnya dari tawaran sebegitu, ia tidak akan menjamin masa depan saya,” ujarnya lagi.

Aizat ditemui pada majlis berbuka puasa jenama pakaian HeetamPuteh bersama anak-anak jagaan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aizat berterima kasih kepada peminat-peminatnya yang bertungkus-lumus menyokong.

Malah berjanji tetap akan menghasilkan karya yang terbaik buat peminatnya sebagai ‘Abang POV’ dan mungkin akan membuat kejutan di kaca televisyen sebagai seorang pelakon tanah air.

“Tahun 2024 ini merupakan tahun yang memberi semangat buat saya untuk teruskan usaha dari pelbagai perspektif.

“Saya mengambil tanggungjawab yang besar ini untuk mencabar diri saya jua supaya saya menjadi manusia yang lebih cekap pada masa yang akan datang dari segi pandangan dunia hiburan dan juga perniagaan,” tutupnya.

Untuk info, Aizat mula tular apabila sering menghasilkan kandungan-kandungan video kisah percintaan pasangan kekasih sehingga digelar ‘abang POV’ dan popular di media sosial.

Khairil Khusyairi