Akhirnya Pilih Isteri Berlakon Dalam MV, Adam Lee Dedah Sukar Berurusan Dengan Rakan Artis?

Pelakon Adam Lee akui sukar untuk berurusan dengan segelintir rakan artis bagi penghasilan muzik video terbaharunya.

Memetik laporan Harian Metro, Adam akhirnya memilih untuk menampilkan isteri yang juga merupakan seorang pelakon, Sweet Qismina di dalam muzik video yang berjudul Izin.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak mahu melibatkan isterinya kerana mahu bekerjasama dengan rakan artis lain dan sudah menyenaraikan beberapa artis yang sesuai.

“Namun, ia tidak dapat dilakukan kerana susah nak dapat kerjasama. Baru saya faham sekarang betapa susahnya untuk deal dengan rakan artis,” katanya tidak mahu mendedahkan siapa gerangan artis yang dimaksudkan tersebut.

Dalam pada itu, dia juga tidak mahu membuka aib sesiapa dan mengambil perkara itu sebagai satu pengajaran.

“Memang saya sendiri yang berhubung dengan mereka mempelawa kerjasama dalam muzik video itu.

“Ia juga pengajaran untuk saya supaya jangan mudah mengharap dengan sesuatu yang mustahil akan berlaku walaupun kita semua dalam industri yang sama,” ujarnya.

Maya Basir