“Alhamdulillah, Jangan Risau Ya..” – Netizen Luah Rasa Syukur Rumah Amanah Sudi Jaga 41 Ekor Kucing Peliharaan Allahyarham Adibah Noor

Pemergian selebriti berbakat besar, Adibah Noor membuatkan ramai pihak bersedih, terutamanya dalam kalangan peminat dan rakan-rakan selebriti.

Umum sedia maklum, insan ‘Terlalu Istimewa’ ini sangat sayangkan kucing dan memelihara lebih 40 ekor haiwan terbabit di rumahnya.

Terdahulu, semasa hidupnya Allahyarham pernah berkata sifatnya yang meletakkan keutamaan pada kucing-kucing membuatkan dia tidak pernah sedikitpun berkira mengenai wang yang dihabiskan untuk keperluan haiwan kesayangannya.

Artikel Berkaitan: Pencinta Kucing, Adibah Noor Pelihara 41 Ekor! – “Tidak Pernah Berkira Jumlah Wang Untuk Kegunaan Mereka”

Justeri itu, peminatnya bimbang atas nasib yang menimpa kucing peliharaan arwah Adibah kerana kehilangan seorang tuan yang memberi kasih sayang sepenuhnya kepada kucing-kucing tersebut hingga ke hujung riwayatnya.

Susulan itu, menerusi sebuah perkongsian di Facebook milik penjaga Rumah Amanah, Hashman Don berkata mereka sudi menjaga semua kucing peliharaan arwah sekiranya tiada pihak yang mahu membelanya.

“Tiada masalah jika kucing-kucing arwah lebih 40 ekor nak berteduh di Rumah Amanah di Hulu Langat, Selangor Syarat utama No. 1 adalah Kematian Tuan Kucing. Warisnya bolehlah PM saya.

“Tak perlu bayar apa-apa dan tak perlu bagi makanan kucing-kucing itu setiap bulan. Malah setiap hari Ahad dari pukul 2.30 petang hingga 6.30 petang adalah hari melawat. Terbuka kepada umum,” tulisnya.

Tinjauan di ruangan komen hantaran tersebut dibanjiri dengan komen-komen wargamaya yang terharu dan bersyukur akan tindakan tersebut.

Ramai pihak mahu membantu dan menghulurkan sumbangan kepada Rumah Amanah, namun Hashman menolak secara baik dengan berkata dia tidak pernah meminta sebarang sumbangan secara umum sebelum ini.

“Minta maaf kepada yg meminta bank akaun. Biarlah pihak saya mengambil kucing-kucing arwah dahulu. Saya sudi terima, tak pasti jika ada waris-warisnya nak jaga,” katanya.

Dalam pada itu, ramai yang boleh menarik nafas lega kerana ada pihak yang cukup berhati mulia sudi memelihara lebih 40 ekor kucing arwah Adibah.

Allahyarham Adibah Noor yang derita kanser ovari tahap empat telah menghadap Illahi dan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6:30 petang, Sabtu di pusat perubatan swasta di Jalan Ampang.

Aqilah Paharuzi