Anwar: The Untold Story Dah Kutip RM1 Juta

Filem Anwar: The Untold Story mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, semalam.

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, filem biopik berdurasi 108 minit itu ditayangkan di lebih 1,000 skrin membabitkan 120 pawagam di seluruh Malaysia.

DMY Creation selaku pengedar rasmi filem Anwar: The Untold Story mengesahkan, kutipan RM1 juta diperoleh pada hari pertama tayangan biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

“Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa.

“Lebih menggembirakan rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.

“Filem Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

“Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga menerima rating antara 8 hingga 10 untuk filem lakonan Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa yang diterima.

“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

“Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini,” katanya.

Padin