Awal Ashaari Lega, Tuduhan Lakukan Khianat Rosakkan Palang Pagar Kawasan Kediaman Akhirnya Selesai

Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari bersyukur selepas kes melibatkan tuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar kawasan kediamannya sejak April tahun lalu akhirnya selesai hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Awal menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya sebentar tadi.

“Alhamdulillah, hari yang baik buat kami semua, setelah sekian lama. Kes saya selesai kerana pertuduhan terhadap saya telah ditarik balik di mahkamah pagi ini,” tulisnya pada kapsyen berkenaan.

 

Kes selesai cara baik di luar mahkamah

Memetik laporan mStar, keputusan itu dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor selepas kesemua tuduhan di tarik balik oleh pengadu.

Malah, kes itu juga berjaya diselesaikan secara baik antara pihak terlibat di luar mahkamah.

“Pihak pengadu telah menarik semula dakwaan terhadap saya dan semua dapat diselesaikan cara baik,” jelasnya.

Berkongsi lebih lanjut, Awal memaklumkan, dia bertindak bersemuka dengan pihak pengurusan kawasan perumahan bagi menyelesaikan kes di luar mahkamah  termasuklah mengakui kesilapan masing-masing.

“Ketika sambutan ulang tahun lalu, saya rasakan tak perlu untk panjangkan kes inikeraan saya pun tinggal di kawasan terbabit. Jadi saya berjumpa dan berbincang.

“Saya sedar kesilapan yang berlaku begitu juga semua pihak yang terlibat,” ujarnya.

Sebelum ini, tuduhan merosakkan palang pagar kawasan kediaman itu dilakukan pada pukul 11.30 pagi pada 16 April 2022 dengan kos kerugian dianggarkan sebanyak RM600.

Dan pada Mei tahun lalu, bekas pengacara Melodi ini juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat di kawasan perumahannya yang terletak di Damansara.

 

 

Sumber: Instagram, mStar

Salma Syahbuddin