Azmi Saat Dan One Path Bekerjasama Lancarkan Lagu Bertemakan Perjuangan

Walaupun ramai penyanyi yang mengambil kesempatan untuk mengeluarkan lagu raya sempena bulan syawal, tetapi tidak menghalang untuk Azmi Saat dan kumpulan nasyid, One Path mengeluarkan single terbaru mereka berjudul “Apa Khabar Cinta”.

Menurut ahli kumpulan One Path, Ammar, menjelaskan bahawa tujuan lagu ini dilancarkan adalah untuk mengetengahkan isu-isu yang melanda masyarakat di Palestin di saat umat Islam di Malaysia sibuk menyambut Aidilfitri.

“Bila terbaca berita serangan dan sekatan yang kerap berlaku sepanjang Ramadan, kami rasa terpanggil untuk kedepankan mesej perjuangan dan solidariti bersama rakyat Palestin.

“Bila saya tengok segala yang berlaku sepanjang Ramadan, kemudian warga Palestin terus diganggu, disekat semasa solat Aidilfitri saban tahun, sudah sampai masanya untuk kami lebih proaktif. Walaupun dalam musim perayaan dan matlamat kami supaya masyarakat tidak lupakan kemelut yang melanda rakyat Palestin dalam keseronokan kita menyambut Aidilfitri.” jelasnya lagi.

Vokalis kumpulan Caliph Busker, Azmi Saat pula berpendapat bahawa Apa Khabar Cinta merupakan pengalaman berharga apabila dapat berkerjasama bersama NGO Cinta Gaza Malaysia dan Tarbiah Sentap.

“Saya mula mengenali nama Tarbiah Sentap sejak tahun 2017 kalau tak salah. Memang pernah terlintas keinginan untuk bekerjasama dengan mereka. Alhamdulillah akhirnya tertunai juga.

“Bermula dari sesi rakaman sampai ke suntingan video muzik semuanya santai sahaja namun tetap mementingkan kualiti.” kata Azmi.

Menurutnya lagi, menyanyikan sebuah lagu yang berlainan genre berbanding singlenya sebelum ini juga merupakan pengalaman berharga baginya.

Apa Khabar Cinta kini dimainkan di seluruh platform digital dan sehingga kini music video Apa Khabar Cinta sudah meraih lebih 100,000 jumlah tontonan di YouTube Tarbiah Sentap.

Izzi Farhana