“Bakat Luar Biasa!” – Mubarak Majid Rangkul Gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Di India

Pelakon veteran tanah air, Mubarak Majid, 66, berjaya melonjak namanya di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem pendek Coofie & Sexy Dress.

Filem tersebut diterbitkan oleh Buffalo Orange Pictures Sdn Bhd di Motion Horse International FIlm Festival (MHIFF) 2022 yang diadakan di India baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kemenangannya dalam kategori utama tersebut, Mubarak meluahkan rasa bangga atas penghargaan pertama yang diraih sepanjang berkecimpung dalam industri lakonan selama empat dekad.

“Sebelum ini, saya sudah banyak kali tercalon dalam beberapa anugerah yang diadakan di dalam negara sendiri tetapi tidak pernah menang.

“Namun saya tidak sedih atau kecil hati, saya juga tak nak kata apa jika dianggap tak dihargai di negera sendiri kerana itu bukanlah matlamat saya.

“Saya hanya buat yang terbaik dan penghargaan itu datang daripada penilaian pihak mereka. Sebagai pelakon kita hanya mampu buat yang terbaik menerusi setiap watak dan peranan yang diberikan,” katanya.

Menurut, nama beliau hanya tersenarai dalam Top 5 pencalonan anugerah di tanah air seperti Anugerah Seri Angkasa dan Anugerah Skrin.

Menerusi tinjauan di ruangan komen Facebook Harian Metro, rata-rata warganet teruja dan berbangga dengan kejayaan tang diraih pelakon Mat Kilau ini.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi