“Biar Gagal Jadi Seorang Isteri, Jangan Gagal Jadi Seorang Ibu…” – 9 Tahun Bergelar Ibu Tunggal, Ramai Kagum Semangat Rita Rudaini

Pelakon Rita Rudaini tidak menganggap jangka masa sembilan tahun bergelar ibu tunggal menjadi penghalang buatnya dalam membesarkan anak-anak.

Malah, semangat dan ketabahan yang ditunjukkan aktres berusia 46 tahun ini wajar dicontohi kerana berjaya mendidik dua anak lelakinya bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga dalam pendidikan Islam.

Perkara itu dapat dilihat apabila anak sulung Rita berjaya diterima masuk menjadi pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

Sementara itu, menerusi perkongsian Rita di Instagram miliknya, beliau dilihat berkongsi video pendek yang memperlihatkan momen bersama anak-anaknya beserta kapsyen yang menyentuh hati.

“Biar gagal menjadi seorang isteri, Yang penting tidak gagal menjadi seorang ibu,” tulisnya.

Meskipun mengehadkan jumlah komen di ruangan media sosialnya itu, namun video tersebut telahpun ditonton lebih 28,000 kali sejak ia dimuat naik beberapa hari lalu.

Untuk rekod, Rita mendirikan rumah tangga bersama bintang bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Razak pada tahun 2008 sebelum bercerai pada 5 September 2013.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan dengan dua cahaya mata lelaki iaitu, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

 

Salma Syahbuddin