COVID 19: Pegawai Dan Staff Istana Antara Yang Perlu Jalani Ujian Saringan Kesihatan

Berikutan isu yang berlegar yang memaklumkan kemungkinan ada di antara ahli parlimen yang mempunyai “close contact” dengan pesakit koronavirus, semua pegawai dan kakitangan istana dikatakan telah diwajibkan untuk membuat ujian saringan kesihatan.

Perkara itu diberitahu di laman media sosial Twitter oleh Sophian Ab Rahman Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela, Bahagian Istiadat, Istana Negara. Beliau turut memuat naik gambar beliau yang bersut lengkap dan bersongkok sedang menjalani saringan kesihatan di sebuah hospital yang tidak didedahkan namanya.

Dalam gambar berkenaan kelihatan Sophian duduk di dalam bilik dan diperiksa jururawat yang mengenakan pakaian perlindungan khas menggunakan pengimbas suhu badan untuk menentukan kemungkinan pegawai berkenaan terdedah risiko Covid-19 atau sebagainya.

“Berikutan berita yg memaklumkan berkemungkinan adanya di kalangan ahli parlimen yg mempunyai close contact dgn pesakit Covid-19 , semua pegawai dan staf Istana diwajibkan membuat saringan. Semoga Allah peliharakanlah Raja kita dan diri kita semua daripada wabak penyakit ini. Amin,” tulisnya.

Ini berikutan berlangsungnya pertemuan di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama barisan ahli-ahli parlimen minggu lalu.

Pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong bersama ahli-ahli parlimen adalah untuk memastikan keadilan berlaku dalam menentukan sokongan mereka terhadap siapa yang berhak untuk menjadi Perdana Menteri.

Untuk maklumat dan berita terkini, korang boleh ikuti hanya di TV3 dan juga di Youtube, Facebook dan Twitter Buletin Utama!

Syafiqa Irdina