Debaran Khadijah Ibrahim Menjelang Konsert Doa Buat Kekasih

Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim sedang dalam proses persiapan akhir menjelang konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018, 6 Oktober ini.

Persembahan berskala besar ini bakal menyaksikan penampilan seorang lagi penyanyi lagenda iaitu Datuk Ramli Sarip. 

Ketika ditemui di Khadijah’s Kitchen baru-baru ini, pelantun lagu Ku Pendam Sebuah Duka memaklumkan beliau melakukan bukan hanya persiapan fizikal malah kesihatan mental juga.

“ Konsert ini berdurasi dua jam setengah. Paling mustahak adalah mendapat tidur secukupnya menjelang hari konsert.

“ Dari segi kesihatan, ibu (panggilan untuk Datuk Khadijah Ibrahim) sedang tidak berapa sihat, batuk sedikit. Doakan ibu kembali sihat sebelum hari konsert.

“ Selain persiapan kesihatan, ibu turut membawa beberapa rakan baik ibu yang juga merupakan pereka fesyen handal menghasilkan busana pada hari konsert itu nanti. Antaranya Chef Zainal, Razman Razmi, Jay Calister dan adik angkat saya dari Beijing, Thomas Yuen,” katanya yang cukup menghargai sokongan teman-teman rapat dalam menjayakan konsert mega ini.

Ketika ditanya mengenai kejutan yang akan dipersembahkan pada malam itu nanti, beliau memberitahu akan ada beberapa lagu duet yang pernah dihasilkan bersama Datuk Ramli Sarip namun belum pernah dinyanyikan di pentas bersama.

“ Diselak kembali sejarah pengharaman kemunculan artis lelaki berambut panjang di televisyen, pada pertengahan tahun 1985, Kementerian Penerangan pernah membuat tindakan luar biasa iaitu mengharamkan artis lelaki berambut panjang muncul di kaca televisyen.

” Kami tidak boleh membuat persembahan bersama untuk beberapa lagu duet ketika itu disebabkan isu berkenaan. 

“ Yang paling penting, ibu memberi penekanan kepada ‘nilai’ yang bakal dibawa pulang penonton yang hadir pada konsert itu nanti.

“ Selepas hampir 40 tahun berada dalam industri, ibu mahu kongsi pengalaman dan ilmu yang ada pada diri ini. Kami berharap penggiat seni termasuklah penyanyi-penyanyi muda dapat datang pada malam itu nanti. Kamu mungkin dapat belajar apabila melihat ibu dan Papa Rock beraksi di pentas sama,” akhirinya.

Tiket-tiket Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Istana Budaya mula dijual pada harga RM400, RM350, RM200, RM150 dan RM100 boleh dibeli atau ditempah dengan melayari www.ilassotickets.com. Jumpa di sana nanti ya!

SGMS Faida