Derita Kanser Limfoma Tahap Empat, Ibnor Riza Meninggal Dunia

Penyanyi era 90-an, Ibnor Riza disahkan telah meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) pada jam 3:30 petang tadi.

Allahyarham Ibnor tidak menyedarkan diri selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air di kepala pada 2 Disember lepas.

Berita tersebut disahkan menerusi hantaran di Instagram milik rakannya, Salwa Abd Rahman sebentar tadi.

“Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.

Berita pemergian Ibnor turut disahkan oleh isterinya, Sarimah Suleiman yang memaklumkan jenazah suaminya akan dibawa ke Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Ibnor yang menghidap kanser limfoma tahap empat tidak menyedarkan diri selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air di kepala pada 2 Disember lepas.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.

Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.

Setakat ini, Ibnor dilaporkan sudah melalui proses kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Sejak disahkan sakit, Ibnor telah membelanjakan wang sebanyak RM80,000 untuk membiayai kos perubatan serta menjual tiga buah kereta miliknya.

Sumber: Harian Metro

Kredit foto: Utusan Malaysia

Aqilah Paharuzi