Didakwa Sudah Tempah Katering, Shuib Jawab Isu Kahwin Pada Hujung Tahun

Pelawak dan penyampai radio, Shuib terkejut apabila mendengar khabar angin daripada kawan penyampai, Ajak yang mengatakan dirinya bakal berkahwin dengan wanita yang dikenali sebagai Watie Hanifiah pada hujung tahun ini.

Memetik laporan Harian Metro, Shuib memberitahu Ajak terserempak dengan seorang pemilik katering yang mendakwa dia sudah menempah makanan untuk hari perkahwinannya.

“Lima hari lalu Ajak ada bertanya adakah saya akan berkahwin hujung tahun ini. Ketika diajukan soalan itu, saya terpinga-pinga kerana tak faham apa yang cuba disampaikan.

“Dia beritahu ada terserempak dengan seorang pemilik katering yang mendakwa Shuib sudah menempah makanan untuk buat majlis perkahwinan sehingga pemilik itu turut beritahu jumlah tetamu yang bakal hadir.

“Saya beritahu Ajak jika dia bakal berkahwin sudah tentu Ajak adalah individu terawal yang akan dimaklumkan. Malah ketika saya mula mengenali Watie, Ajak antara orang pertama yang saya kongsikan.

“Jadi, kalau kata saya ada berjumpa pemilik katering atau tukang buat baju, semua itu adalah dusta. Ada pihak yang buat fitnah dengan ‘menjual’ cerita yang tidak betul,” katanya.

Susulan perkara itu, Shuib menafikan dakwaan dirinya yang bakal mendirikan rumahtangga pada Mac tahun hadapan serta memaklumkan masih tiada perancangan dibuat.

“Belum ada sebarang perancangan dan rasanya macam jauh lagi perjalanan ke arah itu sebab saya nak pastikan anak-anak terima kehadirannya dahulu.

“Perkenalan dua hingga tiga bulan belum cukup masak untuk menilai dia. Alhamdulillah hubungan kami berjalan lancar dan anak-anak serta mak saya pun suka dengan kehadirannya,” ujarnya.

Maya Basir