Categories: HiburanTrending

Didakwa Tiru Zizan Razak & Shaheizy Sam? Ini Respons Wanns Ahmad – “Saya Bawa Identiti Saya Sendiri”

Penyanyi dan pelakon, Wanns Ahmad tampil bersuara susulan timbul dakwaan yang mengatakan dia meniru gaya lakonan Zizan Razak dan Shaheizy Sam dalam pembawakan watak komedinya.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Wan Nursalam Wan Ahmad itu menafikan perkara tersebut dan menegaskan bahawa dia membawa identiti sendiri tanpa meniru karakter artis lain.

Memetik laporan Harian Metro, sejak awal pembabitannya dalam industri seni, dia berasa agak sedih kerana menyifatkan dirinya tidak memiliki aura atau identiti tersendiri.

“Saya pun perasan dah banyak kali orang bercakap perkara ini. Kalau awal-awal dulu memang rasa satu kegagalan kerana mereka tak nampak identiti saya dan anggap macam orang lain,” katanya.

Akui sering menerima kritikan tersebut, teraju utama drama bersiri Adnan Runner itu memberitahu, dia kini sudah lali dan hanya ingin memberikan yang terbaik menerusi naskah lakonannya.

“Memang bergelut juga mulanya untuk raih perhatian peminat. Tapi lama-lama saya dah rasa tak kisah. Saya nak yakinkan orang pun, memang tak boleh. Tapi yang penting saya bawa identiti Wanns Ahmad,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Terus Mencintaimu itu juga berhasrat untuk mengikis stigma orang ramai yang mengatakan wajah dan bakatnya hanya sesuai untuk melakonkan watak komedi sahaja.

“Saya nak keluar dari zon ini. Tapi pada masa sama, risau juga mampu atau tak. Tapi insya-Allah saya akan cabar diri sendiri untuk keluar dari watak komedi.

“Saya juga bersyukur berpeluang berlakon filem pertama iaitu Pontianak 200 kg arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Saya berlakon telefilem Pontianak 100 kg juga arahannya terbitan MIG Production Sdn Bhd yang disiarkan di tonton Original sebelum ini.

“Ia dapat sambutan hangat, jadi MIG Production Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd bekerjasama menerbitkannya dalam filem pula,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie