Dikecam Lakonkan Babak Didakwa Berunsur ‘Soft Porn’, Jiwa Alya Iman Tetap Kental Gara-Gara…

Pelakon meningkat naik, Alya Iman kuat berdepan kecaman netizen disebabkan pengalaman hidupnya yang pernah melalui tempoh sukar.

Menurut Alya atau nama sebenar Nur Alya Iman Azmil, 23, akui sudah lali dengan tohmahan yang dilemparkan.

“Orang memang benci saya. Jadi, saya tak kisah apa yang orang nak cakap perkara buruk pasal saya.

“Siapa yang kenal saya, dia tahu siapa saya. Walaupun baru berusia 23 tahun, saya dah melalui banyak pengalaman menyedihkan yang menjadikan diri saya tabah dan kalis kecaman.

“Kehilangan bapa saya, membesar dalam keluarga berantakan dan bekerja pada usia muda sebab nak jaga arwah bapa membuatkan hati serta jiwa kental berdepan apa juga cabaran dalam hidup.

“Jadi bila ada netizen kecam, ia langsung tidak memberi kesan. I have gone through worse, saya tahu boleh hadapi semua ini dan bersedia dengan apa juga cabaran yang bakal mendatang,” katanya semasa ditemui di sidang media drama Layang-Layang Perkahwinan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas tentang reaksi negatif penonton tentang babak yang didakwa berunsur ‘soft porn’, Alya akui bimbang akan mengundang kecaman.

“Masa mula-mula dapat skrip, saya tanya pada Eyra (pengarah) betulkah saya kena bawa watak ini? Ini kerana saya sedar watak ini boleh membuatkan saya dikecam.

“Namun, sudah namanya pelakon, saya buat juga. Sebagai pelakon, saya hanya jalankan tanggungjawab mengikut skrip dan arahan.

“Saya tahu kejadian sebenar berlaku di belakang kamera. Ia tidaklah seperti yang diperkatakan (berunsur lucah). Kami jaga semuanya,” jelasnya.

Terdahulu, tular klip video daripada drama tersebut yang memaparkan watak Shukri Yahaya sedang mandi sebelum didatangi watak Alya Iman yang masuk ke dalam bilik air.

Shukri yang tidak mengenakan baju kemudiannya bertindak menarik tangan Alya dan aktres tersebut memberikan senyuman.

Potongan video tersebut telah meraih perhatian ramai yang dilihat mengecam adegan dalam telefilem tersebut.

Maya Basir