Fadlan Hazim Sah Bertunang Dengan Wanita Kazakhstan, Perlu Lalui Ujian ‘Kelelakian’

Pelakon Fadlan Hazim memaklumkan dirinya sudah bertunang dengan wanita kelahiran Kazakhstan iaitu Aiya Mukhamedsalova pada 1 Oktober tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Fadlan atau nama sebenar Fadlan Hazim Anuwar memberitahu majlis tersebut berlangsung di kediaman Aiya di Kazakhstan.

“Saya berjumpa dengan keluarganya secara sendirian di Kazakhstan pada Oktober tahun lalu.

“Majlis pertunangan kami hanya berlangsung secara ringkas dan hanya membabitkan anggota keluarganya sahaja,” katanya.

Berkongsi mengenai pertemuan dengan keluarga tunangnya, pelakon Chinta Arjuna ini sempat mengenali budaya masyarakat di sana yang cukup unik dan menarik.

“Sebelum berkahwin, kaum lelaki di sana perlu melalui beberapa ujian bagi menguji ‘kelelakian’ serta kesungguhan untuk berumah tangga. 

“Saya pun tak tahu perlu melalui ujian terbabit. Tunang saya juga tidak beritahu mengenai perkara itu cuma dia minta saya hanya lakukan sahaja apa yang disuruh. 

“Antara yang perlu saya lakukan adalah berjalan di atas paku, menunggang kuda dan minum susu kuda. 

“Saya juga dibawa mendaki gunung dalam keadaan suhu yang amat sejuk. Bayangkan saya perlu mendaki gunung tanpa memakai baju tebal,” jelasnya.

Disoal tentang perancangan mendirikan rumah tangga, Fadlan memberitahu majlis perkahwinan mereka dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.

“Belum ada tarikh yang pasti lagi. Buat masa ini, saya sibuk menguruskan dokumen berkaitan kerana ia membabitkan perkahwinan dengan warga asing dan di luar negara. 

“Saya juga percaya sudah sampai masanya untuk saya berkahwin kerana semua kawan-kawan sudah beristeri dan usia pun semakin meningkat,” ujarnya.

Maya Basir