Fizz Fairuz Tolak Pelakon Baharu?

Pelakon Datuk Fizz Fairuz mengaku lebih selesa berlakon dengan pelakon seangkatan dengannya atau lebih tepat golongan senior.

Kata Fizz ketika ditemui Xtra, dia tidak menemui ‘jiwa’ apabila berkongsi set dengan pelakon baharu.

“Maaf saya kata tiada ‘rasa’. Saya lebih selesa berlakon dengan pelakon lama yang mana penjiwaan watak lebih mudah dan cepat.

“Kalau kita tengok zaman sekarang, pelakon baharu mudah untuk menjadi hero utama dalam drama popular bukan kerana bakat tetapi pengikut di Instagram.Benda ini boleh merosakkan industri lakonan apabila kita ‘dijamu’ dengan populariti bukan bakat. Itu bahaya,” katanya.

Pelakon drama Kamar Kamariah ini juga belum melihat mana-mana pelapis baharu yang layak digelar antara pelakon terbaik.

“Kalau zaman saya atau Dato Rosyam Nor dulu, untuk kami menembusi drama mendapatkan watak hero, kami perlu berlakon dalam banyak drama sebelum itu barulah kami dapat merasa untuk duduk di tempat hero.

“Tapi kalau sekarang? Pelakon baharu ibarat melepas batuk di tangga sahaja. Mungkin mereka popular tetapi nak cakap hebat, belum lagi,”akhiri suami kepada Datin Almy Nadia.

Pelakon berusia 40 tahun ini pernah membintangi beberapa buah filem dan drama antaranya  Castello, Anak Halal, Niyang Rapik, Nur Kasih, Kekasih Paksa Rela dan banyak lagi.

Oleh: SGMS Fas

SGMS Faida