Hamil Anak Keempat, Nourul Wahab Mengidam Kuih Tradisional

Tahniah buat penyanyi Nourul Wahab Depp yang bakal menimang cahaya mata keempat tak lama lagi.

Menurut isteri kepada Eric Daniel Depp, dia bersyukur diberikan peluang untuk hamil lagi pada usia 41 tahun.

 “Sebenarnya, suami berulang kali merayu supaya saya mengandung lagi. Alhamdulillah, doanya dimakbulkan, malah anak-anak terutama Ayu (Nazirah) pun berkongsi kegembiraan kerana keluarga kami akan lebih meriah,” katanya kepada BH Online.

Rumah tangga Nourul bersama lelaki Perancis terbabit diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Zachary Depp, 5, dan Raphael Depp, 3, manakala bersama bekas suami, Ajai, mereka mempunyai anak perempuan yang sudah mencecah usia 20 tahun, Ayu.

Berkongsi keadaan kesihatannya, akui Nourul, dia memang tidak mengalami sebarang alahan sepanjang kehamilan terdahulu, cuma kali ini dirinya mengidam kuih tradisional.

“Entah kenapa, saya teringin sangat makan kuih dangai yang berasaskan kelapa. Mujurlah kami dapat cari di sekitar sini saja. Begitu juga dengan apam manis.

“Setakat ini, stamina saya pun macam biasa dan masih boleh bekerja. Begitupun, baru-baru ini saya berdepan masalah selesema dan sakit tekak yang teruk, sehingga terpaksa membatalkan satu persembahan disebabkan kehilangan suara.

“Saya pula tidak boleh mengambil ubat yang kuat kerana masih pada peringkat awal kehamilan. Jadi, buat waktu ini saya kena rehatkan tekak dulu. Apa pun, jika sudah sihat sepenuhnya nanti saya masih boleh mengambil undangan menyanyi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nourul bakal terbang ke Paris November depan bagi urusan pengedaran album berbahasa Perancisnya, Humaine. Good Luck Kak Nourul!

 

SGMS Faida