Henry Golding Bakal Bintangi Filem Hollywood G.I Joe?

Selepas pernah dilaporkan bakal membintangi filem James Bond 007, pelakon asal Malaysia, Henry Golding kini disebut-sebut bakal membintangi filem superhero G.I Joe pula.

The Hollywood Reporter melaporkan, Golding ialah calon utama membawakan watak Snakes Eyes, komando ninja yang handal bertempur dan berpakaian hitam, menutup sebahagian muka dan tidak bersuara, dalam franchise terbaru filem itu.

Maklumat itu menjadi bualan hangat warga Twitter dan selain peminat berkongsi pelbagai reaksi dengan kesahihan khabar angin itu.

Ada yang berpendapat Henry, kacukan Iban-Inggeris, tidak sesuai membawakan watak Snake Eyes kerana latar watak ialah Caucasian yang dibesarkan keluarga Jepun.

Malah ada menganggap bakat Golding akan dipersia-siakan kerana watak Snake Eyes tidak bercakap dan memakai topeng hitam.

Syarikat penerbitan filem gergasi Paramount sebelum ini telah menghasilkan dua filem G.I Joe iaitu G.I Joe: The Rise of Cobra (2009) dan G.I Joe Retaliation (2013).

Imbas kembali, sebelum ini watak Snake Eyes dilakonkan pelakon akrobatik Ray Park untuk kedua-dua filem itu.

Henry mula mencipta populariti di Hollywood selepas filem lakonannya, Crazy Rich Asians mencetus fenomena di seluruh dunia pada 2018.

 

Oleh: Guy Masaki

SGMS Putri